X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

60 maahad tahfiz bakal ditutup

Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Azlan
A
A

IPOH - Sebanyak 60 maahad tahfiz di Perak berdepan risiko ditutup selepas tidak dapat beroperasi dalam tempoh pandemik Covid-19 sejak Mei lalu.

Pengerusi Persatuan Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Perak (Pematap), Mohd Azlan Suhaimi berkata, pihak sudah menjalankan kaji selidik kepada maahad tahfiz di negeri ini pada 28 Mei lalu berkaitan situasi dihadapi mereka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menurutnya, daripada 102 maahad tahfiz swasta yang terlibat dalam kaji selidik tersebut, 60 daripadanya menyatakan mereka hanya mampu bertahan dalam tempoh tiga bulan susulan tiada pelajar yang memulakan sesi pengajian.

"Baki maahad tahfiz yang terlibat pula menjelaskan mereka hanya mampu bertahan sekitar empat hingga enam bulan sahaja dari bulan Mei 2021.

"Perkembangan ini memberi kesan negatif dan dianggarkan 2,500 pelajar akan keciciran manakala 300 guru dijangka akan kehilangan pekerjaan," katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohd Azlan berkata, penangguhan operasi maahad tahfiz ini dilaksanakan susulan arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) apabila kerajaan melaksanakan PKP 3.0 di seluruh negara pada Mei lalu.

Sementara itu, beliau berkata, pembelajaran dalam talian juga tidak memberi peratusan yang tinggi dalam mengekalkan kualiti hafalan dalam kalangan pelajar malah kadar keciciran mereka juga melebihi 50 peratus.

"Justeru itu, demi kelangsungan maahad tahfiz swasta di Perak ini, juga perkhabaran bahawa terdapat maahad tahfiz yang akan menutup operasi, kami memohon pertimbangan pembukaan semula mahad tahfiz mulai 1 September 2021 dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa dua dengan syarat tertentu.

"Selain itu juga, pihak Pematap memohon kerajaan negeri mengambil maklum perkembangan untuk mengambil tindakan sewajarnya termasuk mempertimbangkan pemberian bantuan secara sekali bayar kepada maahad tahfiz swasta ini," katanya.

Jelasnya, walaupun maahad tahfiz tersebut swasta, pada hakikatnya mereka merupakan sebahagian daripada kerajaan.

Mohd Azlan berkata, ini kerana semua aset iaitu tanah dan bangunan telah diwakafkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang mempunyai nilaian ratusan juta ringgit.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!