Food bank di Penjara Taiping

Penyelaras Food Bank Penjara Taiping, Shah Rizal Ahmad memeriksa barangan keperluan asas yang diletakkan di ruangan khas yang ditempatkan di galeri penjara berkenaan.
Penyelaras Food Bank Penjara Taiping, Shah Rizal Ahmad memeriksa barangan keperluan asas yang diletakkan di ruangan khas yang ditempatkan di galeri penjara berkenaan.
A
A
A

TAIPING - Penjara Taiping mengambil inisiatif mewujudkan bank makanan atau 'Food Bank' bagi membolehkan kakitangan dan komuniti setempat yang terkesan dalam tempoh pandemik Covid-19 mendapatkan barangan keperluan asas secara percuma.

Inisiatif yang bermula pada Selasa itu membolehkan mereka mendapatkan bekalan asas seperti beras, gula, sardin, minyak, biskut dan susu di ruangan khas yang ditempatkan di galeri penjara berkenaan.

Pengarah Penjara Taiping, Penolong Kanan Komisioner M Basakaran berkata, usaha itu bagi membantu meringankan beban kakitangan dan masyarakat setempat yang berusaha keras menangani kos sara hidup yang kian meningkat.

"Walaupun diletakkan dalam kawasan penjara, bantuan ini tidak terhad kepada kakitangan sahaja, mana-mana komuniti sekitar bandar Taiping yang memerlukan juga boleh datang dan ambil barangan yang dirasakan perlu.

"Dengan sumbangan kecil ini, kami harap dapat menjaga kebajikan masyarakat agar terus berada dalam keadaan harmoni mendepani situasi Covid-19 yang semakin mencabar," katanya.

Beliau berkata, pembelian barangan berkenaan disediakan pengurusan Penjara Taiping serta hasil perolehan dan sumbangan kakitangan.

Katanya, orang ramai yang berhasrat untuk menyumbang turut dialu-alukan berbuat demikian agar dapat disalurkan semula kepada mereka yang memerlukan.

"Bantuan sama juga ada kami salurkan kepada keluarga-keluarga banduan yang memerlukan dan terkesan akibat Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan:

Individu yang ingin menyumbang boleh berhubung dengan Penyelaras Food Bank Penjara Taiping, Shah Rizal Ahmad di talian 017-5466797 atau berhubung terus dengan Penjara Taiping di talian 05-8072177.