Selangor mulakan pasukan vaksinasi bergerak September depan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor dijadual memulakan program pasukan vaksinasi bergerak ke kawasan tertentu bermula pada September depan.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, inisiatif itu bagi memastikan lebih ramai rakyat Selangor menerima suntikan vaksin.

“Misalnya, jumlah individu yang belum divaksin kurang 200 individu di sesebuah lokasi, kita akan aturkan klinik bergerak itu yang boleh selesaikan pemberian vaksin dalam (tempoh) sehari.

“Kita (juga) perlukan maklum balas jumlah individu belum divaksin daripada komuniti serta wakil rakyat supaya program menjadi efektif. Pada masa sama, Klinik Selcare masih terima individu yang datang untuk ambil vaksin,” katanya pada sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, pada Selasa.

Mariah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang menjawab pertanyaan tambahan Ronnie Liu Tian Khiew (DAP-Sungai Pelek), sama ada Selangor dimaklumkan mengenai penutupan 27 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Selangor dan Kuala Lumpur seperti diumumkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin pada Selasa.

Dalam pada itu, Dr Siti Mariah berkata, pihaknya juga akan meminta Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) mengekalkan beberapa PPV di negeri ini bagi memudahkan orang ramai mendapat suntikan.

Artikel Berkaitan: