Kes tembak anggota TUDM: Polis tunggu laporan pakar patalogi

Empat anggota TUDM maut dalam kejadian tembakan di kem TUDM di Kota Samarahan pada 13 Ogos lepas. - Foto Bernama. Gambar kecil : Aidi Ismail
Empat anggota TUDM maut dalam kejadian tembakan di kem TUDM di Kota Samarahan pada 13 Ogos lepas. - Foto Bernama. Gambar kecil : Aidi Ismail
A
A
A

KUCHING - Polis sedang menunggu laporan penuh bedah siasat daripada pakar patologi mengenai empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam insiden tembakan di kem TUDM, Kota Samarahan, 13 Ogos lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, sampel barang kes meliputi sampel asid deoksiribonukleik (DNA), senjata api serta kelongsong peluru telah dihantar ke Jabatan Kimia dan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk analisa saintifik.

Beliau berkata, telefon bimbit milik mangsa juga telah dihantar ke Jabatan Kimia dan Forensik PDRM untuk analisa bagi mengenal pasti punca dan motif kejadian itu yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

TUDM sebelum ini memaklumkan berlaku satu insiden tembakan pada 13 Ogos lalu membabitkan empat anggota pasukan itu pada jam 7.15 pagi di Unit TUDM di Kota Samarahan, ketika waktu anggota bertugas.

Empat anggota yang terkorban dalam insiden berkenaan ialah Koperal Udara Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli, Koperal Udara Mohamad Ehsan Sehamat, Koperal Udara Ho Swee Boon dan Laskar Udara Nesly Anak Nabau. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Tembak tiga rakan setugas sebelum tembak diri sendiri: PDRM

Artikel Berkaitan: