Wanita rugi RM70,000 diperdaya individu menyamar pegawai polis

Seorang pekerja swasta berputih mata apabila wang simpanannya sebanyak RM70,000 lesap akibat diperdaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai anggota polis, pada Isnin. Gambar kecil: Noorzainy
Seorang pekerja swasta berputih mata apabila wang simpanannya sebanyak RM70,000 lesap akibat diperdaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai anggota polis, pada Isnin. Gambar kecil: Noorzainy
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pekerja swasta berputih mata apabila wang simpanannya sebanyak RM70,000 lesap akibat diperdaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai anggota polis pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita berusia 49 tahun itu pada mulanya menerima satu panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang mendakwa dia mempunyai tunggakan cukai syarikat sebanyak RM1,188 dengan syarikat Telekom Malaysia (TM).

Beliau berkata, panggilan itu kemudian disambungkan kepada individu lain yang mendakwa dirinya sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

“Mangsa kemudian dimaklumkan oleh ‘pegawai’ terbabit bahawa dia didapati terlibat kes pengubahan wang haram.

“Wanita itu yang panik mengikut arahan 'pegawai' berkenaan supaya tidak memberitahu sesiapa serta diminta menyerahkan maklumat akaun dan kod kebenaran transaksi (TAC) atau kata laluan sekali guna (OTP) bagi siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Noorzainy berkata, selepas menyerahkan nombor transaksi berkenaan kepada individu itu, mangsa mendapati wang di dalam akaun bank miliknya telah berkurangan dipercayai melalui transaksi yang dilakukan.

Katanya, mangsa juga telah memindahkan separuh daripada wang miliknya ke dalam akaun bank lain dengan mempercayai ia adalah untuk tujuan siasatan.

“Mangsa menyedari ditipu selepas mendapati wang sebanyak RM70,000 telah lesap dan tampil membuat laporan polis semalam (Isnin),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Noorzainy sehubungan itu menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan sebarang panggilan telefon.

Beliau berkata, pihak polis tidak berurusan dengan orang awam melalui telefon, apatah lagi meminta maklumat perbankan.