Dedah segera dokumen penafian, PKR beritahu Pas

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pas perlu segera mendedahkan dokumen-dokumen berkaitan untuk menafikan bahawa RM1.4 juta dibayar kepada pengasas Sarawak Report.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, ketika ini dokumen-dokumen berkaitan penyelesaian saman terhadap Sawarak Report bersama salinan cek dan butiran pembayaran tersebut telah didedahkan.

"Ini bukan sahaja tanggungjawab Pas kepada ahli-ahli dan penyokong mereka yang berkorban memberikan sumbangan bagi membela nama Pas terhadap tuduhan Sarawak Report. Malah Pas mempunyai tanggungjawab untuk membersihkan arena politik negara daripada amalan korup dan pembohongan.

ARTIKEL BERKAITAN: Clare sahkan terima bayaran RM1.4j daripada Hadi

"Ini tambahan pula selepas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sendiri mengakui bahawa beliau diarahkan oleh pemimpin tertinggi Pas untuk melakukan pembohongan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sebagai sebuah parti politik lama, kontroversi melanda Pas perlu segera diselesaikan.

"Langkah pertama ke arah penyelesaian itu ialah dengan berlaku jujur dan menghentikan pembohongan.

"Walaupun kebenaran mungkin pahit, kita diperintahkan oleh Rasulullah untuk tetap mengatakannya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan terbaharu hari ini, Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown membuat pendedahan bahawa portal itu menerima bayaran sebanyak RM1.4 juta daripada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada akhir Januari lalu.

Menurut Clare, portal itu bersetuju untuk menerima pembayaran tersebut termasuk syarat Abdul Hadi supaya kedua-dua pihak merahsiakan pembayaran tersebut.

"Ini adalah perkara biasa dalam penyelesaian sesuatu kes di luar mahkamah untuk dirahsiakan supaya tidak mengaibkan pihak yang membuat pembayaran bagi mengelakkan kes itu terus berpanjangan," katanya menerusi laporan yang disiarkan dalam laman tersebut.

Laporan yang bertajuk 'Masa untuk menjelaskan tentang bayaran kepada Sarawak Report' itu turut memaparkan beberapa gambar salinan dokumen berkaitan, termasuk perjanjian rahsia, sekeping cek Bank Islam dan sepucuk surat kepada Maybank yang mengesahkan wang bernilai RM1.4 juta itu datang daripada Abdul Hadi.

Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan, Pas akan mengadakan sidang media khas dan mengemukakan segala bukti bagi menjawab dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan perkara tersebut.