Nauraj Singh raih emas di Luxembourg

Nauraj Singh Randhawa - Foto Sumber Google
Nauraj Singh Randhawa - Foto Sumber Google
A
A
A

JAGUH lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa berjaya merangkul pingat emas di kejohanan CAS International Meeting, yang berlangsung di Stade Jean-Jacoby di Schifflange, Luxembourg pada awal Isnin.

Atlet berusia 29 tahun, kelahiran Johor itu yang kini berpangkalan di Jerman meraih emas dengan lompatan setinggi 2.18 meter.

Bagaimanapun, Olimpian itu yang mempunyai catatan peribadi terbaik 2.30m yang dicatatkan pada Kejohanan Terbuka Singapura 2017 yang juga rekod kebangsaan, gagal dalam percubaan terakhir untuk ketinggian 2.21m.

Atlet Belanda, Douwe Amels dan Keyvan Ghanbarzadeh dari Iran, yang juga berjaya melepasi 2.18m, masing-masing meraih pingat perak dan gangsa berdasarkan kiraan semula, menurut laman web rasmi Olahraga Dunia www.worldathletics.org.

Nauraj Singh melepasi 2.18m dalam percubaan pertama manakala Amels dan Keyvan, masing-masing hanya berjaya melakukan lompatan pada percubaan kedua dan ketiga. - Bernama

Artikel Berkaitan: