X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Melaka United hilang punca penghujung perlawanan

Antara aksi menarik pertemuan Melaka United menentang UiTM FC di Stadium Hang Jebat. - Foto Melaka United Football Club
A
A

PEMAIN hilang fokus pada saat-saat terakhir perlawanan sehingga membolehkan lawan menjaringkan gol penyamaan menjadi antara punca Melaka United FC kehilangan mata berharga dalam aksi Liga Super bertemu UiTM FC di Stadium Hang Jebat di sini malam Ahad.

Pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan mengakui situasi itu merugikan pasukan apabila terpaksa berkongsi satu mata dengan pasukan yang berada pada kedudukan tercorot liga itu selepas sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 pada perlawanan itu.

Menurut Zainal Abidin, keputusan itu menghampakan kerana kemenangan amat penting kepada pasukan memandangkan kedudukan skuad Hang Tuah yang masih belum selamat dalam liga dan bagi mengelakkan zon penyingkiran.

"Pasukan ini mendahului perlawanan dan sepatutnya boleh membawa pulang mata penuh namun disebabkan cuai di minit-minit akhir selain melepaskan peluang menjaringkan gol inilah yang menyebabkan kita terpaksa menanggung kesilapan.

"Inilah yang saya katakan kita ‘didera’ kerana tidak fokus mental dan membiarkan pasukan berada dalam tekanan. Apabila kita tertekan lagi banyak kesilapan dilakukan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Dalam perlawanan terbabit, Melaka United yang melayan kunjungan skuad The Lions, mendahului permainan menerusi gol dijaringkan S Kumaahran pada minit ke-45, namun UiTM berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-83 menerusi jaringan Victor Nirennold.

Sementara itu, jurulatih UiTM FC, Reduan Abdullah berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi dipamerkan anak buahnya yang memberi saingan sengit kepada Melaka United.

"Saya lihat para pemain sangat berdisiplin dan ia satu perlawanan yang seimbang. Saya berharap pasukan ini terus mempertingkatkan prestasi untuk perlawanan akan datang dan akan memperbaiki kelemahan yang ada dalam latihan," katanya.

Keputusan seri itu menyaksikan Melaka United kini berada di tangga kesembilan Liga Super dengan mengumpul 17 mata manakala UiTM FC sekadar meraih enam mata.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!