PM diharap jujur kerjasama dengan ahli Parlimen pembangkang

Senator Aiman Athirah Al Jundi - Foto Bernama
Senator Aiman Athirah Al Jundi - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diharap menjalinkan kesefahaman dan kerjasama yang lebih jujur dengan semua pihak termasuklah ahli-ahli Parlimen pembangkang.

Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional, Senator Aiman Athirah Al Jundi mengingatkan Ismail Sabri agar tidak mengulangi tindakan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diibaratkan ‘sudah terhantuk baru terngadah’

“Ismail Sabri perlu sedar dan insaf bahawa kedudukannya sebagai Perdana Menteri juga hakikatnya tidak stabil, malah sangat terdedah kepada pelbagai bentuk kacau ganggu dan ugutan daripada dalaman kerajaannya sendiri.

“Perdana Menteri kesembilan juga diharap dapat memberikan tumpuan kepada segala usaha pemulihan ekonomi, kesejahteraan sosial rakyat dan kelangsungan pendidikan negara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada Sabtu, Ismail Sabri secara rasmi diangkat sebagai Perdana Menteri kesembilan selepas selesai mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mengulas lanjut, Aiman Athirah berkata, tiada keperluan untuk membentuk sebuah kabinet yang besar tetapi gagal berfungsi seperti sebelumnya.

Menurutnya, mana-mana menteri dan timbalan menteri yang jelas gagal menjalankan fungsi mereka sebelum ini wajib tidak diangkat semula.

“Kabinet Malaysia perlu dibentuk mengikut keperluan, keutamaan dan keupayaan setiap anggota yang dilantik, bukan sebaliknya dengan budaya serta keperluan balas budi.

Artikel Berkaitan:

“Tindakan dan keputusan seperti ini adalah tidak ‘sustainable’ (berkekalan), bahkan satu lagi pengkhianatan terhadap rakyat susah dan derita di bawah akibat kegagalan fungsi para menteri di atas,” ujarnya.

Dalam pada itu, Aiman Athirah berkata, kebijaksanaan menguruskan semua ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang dengan menjadikan mereka sebagai rakan strategik adalah ramuan politik baharu yang Malaysia perlukan pada masa kini.

“Ini selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang jelas menekankan ‘yang menang tidak dapat semua, yang kalah tidak hilang semua’,” jelasnya.