Sila log masuk terlebih dahulu.

Asyraf Wajdi cadang 'Tok Mat' jadi Menteri Kewangan

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan agar bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dilantik sebagai Menteri Kewangan dalam barisan kabinet baharu nanti.

Menurutnya, pemilihan Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan 'Tok Mat' yang juga Timbalan Presiden UMNO itu dibuat memandangkan beliau seorang pemimpin yang begitu dekat dengan rakyat.

"Bagi merealisasikan #TuntutanRAKYAT berkaitan moratorium, i-Citra, tambahan nilai pakej-pakej bantuan rakyat yang ketika ini amat susah, gelisah dan tertekan, memerlukan seorang Menteri Kewangan dipilih daripada kalangan yang biasa bergelumang dengan rakyat dan memahami denyut nadi mereka.

"Saya mencadangkan agar dipertimbangkan cadangan untuk YAB Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) melantik Datuk Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan sebagai Menteri Kewangan dalam kabinet baharu nanti.

"Setuju dengan pandangan ini?" ujarnya menerusi hantaran di Facebok pada Isnin.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau bagaimanapun bukan seorang ahli Dewan Rakyat untuk melayakkan beliau dilantik menganggotai kabinet.

Namun, beliau masih boleh dilantik sebagai Senator untuk membolehkan beliau memegang jawatan sebagai menteri dalam kabinet.

Pelantikan individu bukan daripada kalangan pemimpin politik atau ahli Dewan Rakyat sebagai jemaah menteri turut berlaku dalam kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Isu pelantikan jemaah kabinet baharu kini menjadi tumpuan selepas Ismail Sabri sah diangkat sebagai Perdana Menteri kesembilan pada Sabtu lalu.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO dilantik sebagai pemimpin nombor satu negara selepas mendapat sokongan 114 ahli Dewan Rakyat bagi menggantikan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan pada 16 Ogos lalu.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menerajui negara sejak 1 Mac tahun lalu berbuat demikian susulan hilang sokongan majoriti apabila 15 ahli Parlimen UMNO menarik balik sokongan terhadap beliau.