Kerajaan perlu buktikan keikhlasan

Hazmi Hassan
Hazmi Hassan
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan perlu membuktikan kesungguhan dan keikhlasan dalam menawarkan kerjasama dengan blok pembangkang menerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan berkata, semua pihak boleh bersetuju dengan cadangan berkenaan, termasuklah pembangkang memandangkan ia membawa kebaikan kepada negara.

Namun katanya, persoalan tetap timbul melibatkan sejauh mana keikhlasan dan peranan pembangkang dalam dua badan berkenaan selepas ini.

"Adakah cadangan dan teguran pembangkang dalam MPN akan diambil kira atau sekadar jemputan untuk memulihkan imej kerajaan yang dilihat gagal sebelum ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapannya menawarkan kerjasama dengan blok pembangkang menerusi MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Tawaran itu selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu semua pihak bekerjasama sebagai satu pasukan.

Mengulas lanjut, Hazmi berkata, pihaknya berharap ahli politik yang terlibat dalam kes lompat parti dan terlibat dalam permainan politik merebut kuasa tidak dilibatkan dalam kedua-dua badan berkenaan.

"Ini kerana mereka ini jelas mengganggu proses pemulihan negara kerana kepentingan politik semata-mata. Kita tidak mahu pemulihan ini diganggu dengan anasir negatif daripada mereka yang pentingkan diri sendiri," katanya.

Artikel Berkaitan: