Konsep Keluarga Malaysia tepati matlamat BN

Zambry Abdul Kadir
Zambry Abdul Kadir
A
A
A

SHAH ALAM - Konsep Keluarga Malaysia diketengahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menepati matlamat Barisan Nasional (BN) yang meletakkan perpaduan dan keharmonian sebagai asas negara Malaysia.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, dengan latar pelbagai bangsa, suku kaum dan agama serta wilayah, konsep tersebut dilihat cerminan sebenar negara Malaysia.

Beliau berkata, konsep tersebut diharap dapat mengukuhkan perpaduan dan tekad seluruh rakyat untuk bersama-sama menggembleng tenaga serta fikiran bagi memacu pertumbuhan Malaysia selain memperkasakan kesejahteraan rakyat.

"Dewan Tertinggi BN mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan ucapan sulung Perdana Menteri.

"Ucapan sulung Perdana Menteri amat bertepatan dan diharapkan menjadi penyatu seluruh warga dalam menghadapi kemelut negara ketika ini.

"BN yakin komitmen Perdana Menteri menjadi neraca yang baik untuk beliau memulakan langkahnya dalam menerajui pentadbiran negara di tengah-tengah cabaran pandemik Covid-19, kesuraman ekonomi dan kesukaran kehidupan sosial," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Zambry, BN akan terus memberikan komitmen mempertahankan kestabilan politik negara dan bersama-sama Perdana Menteri mengharungi cabaran semasa negara.

Pada Ahad, Ismail Sabri menggalakkan usaha sepakat membantu sesama masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan kaum melalui konsep Keluarga Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, konsep berkenaan diambil kerana baginya keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.

ARTIKEL BERKAITAN: Bantu masyarakat menerusi konsep Keluarga Malaysia: PM