Nikmat lengkap suntikan vaksin

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MERAK Jalanan ada seorang kawan yang bermatian-matian tidak mahu disuntik dengan vaksin Covid-19. Namanya Mahmud tetapi nama manjanya Mud.

Macam-macam hujah diberikannya untuk tidak disuntik walau apa jenis vaksin Covid-19. Merak Jalanan tidak boleh melabelkan dia sebagai antivaksin kerana sebelum ini tidak pula mempertikaikan vaksin BCG, Hepatitis B, Measles ataupun Pneumokokal.

Paling kerap hujah yang dikemukakan ialah ia agenda asing untuk mengawal diri manusia yang telah disuntik dengan vaksin.

Macam-macam teori konspirasi dipercayainya termasuklah vaksin yang disuntik dalam badan mampu mengawal pemikiran manusia.

Mungkin juga Mud terpengaruh dengan bahan bacaan yang tidak diketahui agendanya dan Mud juga terlalu fokus kepada kesan sampingan vaksin Covid-19.

Merak Jalanan sebenarnya tidaklah mahu berkempen kepada Mud mengenai kebaikan vaksin kerana tidak mahu bermusuh dengan Mud.

Cumanya apabila kerajaan banyak memberikan kelonggaran dan kemudahan kepada rakyat yang lengkap dua dos, maka Merak Jalanan tidak dapat menahan keinginan untuk berkongsi kebebasan tersebut dengan Mud.

Antaranya Merak Jalanan berkongsi gambar betapa indahnya menikmati teh tarik dan roti banjir telur goyang di restoran mamak − satu nikmat yang tidak dapat dikongsi dengan kata-kata.

Artikel Berkaitan:

Paling Mud iri hati ialah kerana kami sebelum ini sering bersama-sama menikmati hidangan tersebut sampai pelayan restoran sudah tahu menu favourite itu.

Dipendekkan cerita oleh kerana tidak mampu menanggung rindu akan nikmat tersebut, Mud akhirnya mendaftar diri untuk suntikan vaksin.

Kata Mud, dia terbuka hati untuk dicucuk vaksin kerana tidak sanggup lagi iri hati dengan kawan-kawan yang sudah bebas dan selepas ini akan lebih bebas dan dia terhalang kerana kepercayaan yang belum ditentukan kesahihannya.