Keluar mengundi awal esok: SPR

No Image Caption
A
A
A

SEMENYIH - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihati pengundi bagi PRK DUN Semenyih supaya keluar awal menunaikan tanggungjawab mereka esok.

Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata, hal ini berikutan keadaan cuaca sejak beberapa hari ini yang sering hujan lebat pada sebelah petang.

“Kita (SPR) nasihatkan para pengundi supaya keluar lebih awal dan jangan tunggu sehingga petang kerana kemungkinan hujan. Itu akan menjejaskan keselesaan mereka untuk mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau persiapan terakhir bagi proses pengundian esok di Pusat Mengundi, Sekolah Kebangsaan Bandar Sunway Semenyih, di sini hari ini.

Dalam pada itu Mohamed Elias turut menasihati pengundi supaya tidak lupa membawa Kad Pengundi dan kad pengenalan masing-masing untuk mengundi esok.

Kad Pengundi yang dihantar kepada semua 54,471 pengundi di Semenyih merupakan inisiatif baharu SPR menggalakkan dan memudahkan pengundi untuk keluar mengundi.

Kad berkenaan mengandungi maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran, bilangan dan masa mengundi.

Esok, 53,411 pengundi biasa layak menunaikan hak mereka untuk memilih wakil rakyat baharu selepas kematian penyandangnya, wakil PH, Bakhtiar Mohd Nor daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pada 11 Januari lepas akibat serangan jantung.

Artikel Berkaitan:

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon muda PH, Muhammad Aiman Zainali dengan Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng. - Bernama