Perak kekalkan khidmat Yee Fatt

Yee Fatt
Yee Fatt
A
A
A

KHIDMAT ketua jurulatih Perak FC, Chong Yee Fatt akan dikekalkan pada musim ini, selepas tempoh rehat selama 14 hari yang diberikan oleh pihak pengurusan tamat pada 2 Ogos lalu, kata Pengurus Besar Perak FC Azman Noh.

Beliau berkata, keputusan tersebut dicapai selepas Perak FC gagal untuk mencari pengganti sesuai yang mempunyai lesen kejurulatihan kelas A, seperti syarat ditetapkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

“Kita juga telah maklumkan keputusan ini kepada dia dalam perbincangan pada 16 Ogos yang lalu di pejabat Perak FC,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 2 Ogos, pihak pengurusan Perak FC mengambil keputusan merehatkan Yee Fatt susulan kemerosotan prestasi yang melanda skuad The Bos Gaurus, dalam aksi Liga Super.

Tugas memangku jawatan ketua jurulatih itu telah dipikul oleh penolong jurulatih Perak FC Mohd Shahril Nizam Khalil, bermula dengan aksi menentang Penang FC pada 3 Ogos lalu.

Azman berkata, beliau berharap Yee Fatt dapat melakukan keajaiban dalam tiga lagi baki perlawanan yang perlu diharungi Perak FC selepas ini, bagi memastikan visi untuk kekal di Liga Super pada musim depan berjaya direalisasikan.

“Misi kekal dalam liga ini memang sukar pada ketika ini, tetapi ia bukan satu perkara yang mustahil untuk dilakukan jika semua pihak kekal positif dalam merencana strategi,” katanya.

Selain itu, Azman berkata, meskipun Yee Fatt masih mempunyai kontrak bersama Perak FC sehingga penghujung November 2022, namun ia bukan jaminan untuk jurulatih kelahiran Ipoh itu terus kekal bersama The Bos Gaurus pada musim hadapan.

Artikel Berkaitan:

“Kita belum buat ketetapan (jawatan ketua jurulatih). Apa-apa pun pihak pengurusan kena berbincang semula, dan kita akan menilai secara khusus berdasarkan prestasi Perak FC dalam liga pada musim ini,” katanya. - Bernama