'Pelantikan Ismail Sabri sah, keabsahan ditentukan Dewan Rakyat'

7
7
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis angkat sumpah jawatan oleh Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan di Istana Negara pada Sabtu sah mengikut perlembagaan negara.

Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin bagaimanapun berkata, pihaknya berpandangan bahawa keabsahan sokongan terhadap Ismail bagi memegang jawatan itu perlu ditentukan menerusi undi percaya di Dewan Rakyat pada September ini.

Mohamed Hanipa berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 18 Ogos lalu turut menitahkan pelantikan segera perlu dibuat bagi mengisi kekosongan jawatan itu dengan turut mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat bagi membuktikan keabsahan sokongan terhadap pemimpin yang dipilih tersebut.

"Justeru, bagi saya usul undi percaya di Dewan Rakyat seperti titah Seri Paduka Baginda wajib dan mesti dibawa di Dewan Rakyat pada sidang selepas ini dan menjadi agenda yang perlu disegerakan," katanya menerusi satu kenyataan, pada Sabtu.

Ismail pada Sabtu mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Malaysia kesembilan menerusi Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan yang berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara.

Istiadat berkenaan berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Agong dengan kehadiran 30 tetamu jemputan.

Dalam pada itu, Mohamed Hanipa berkata, sekiranya ada pihak beranggapan undi percaya tidak perlu lagi dibawa ke Dewan Rakyat selepas istiadat berkenaan berlangsung, ia adalah satu tindakan yang sangat bertentangan dengan titah dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

"Ia boleh dianggap mengelirukan dan dapat ditafsirkan seperti tidak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Artikel Berkaitan: