Penyelia, sembilan pekerja pakai gelang pink ditahan

Seorang penyelia bersama sembilan pekerja sebuah premis pembekal dan pembungkusan ditahan ketika sedang bekerja selepas didapati memakai gelang kuarantin merah jambu pada Sabtu. Gambar hiasan.
Seorang penyelia bersama sembilan pekerja sebuah premis pembekal dan pembungkusan ditahan ketika sedang bekerja selepas didapati memakai gelang kuarantin merah jambu pada Sabtu. Gambar hiasan.
A
A
A

KAMPAR - Seorang penyelia bersama sembilan pekerja sebuah premis pembekal dan pembungkusan ditahan ketika sedang bekerja selepas didapati memakai gelang kuarantin merah jambu pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, tangkapan dibuat selepas sepasukan pegawai dan anggota Task Force Ops Patuh Ibu Pejabat Polis (IPD) Kampar melakukan pemeriksaan di sebuah premis di Jalan Teknologi 3, Kawasan Perindustrian Gopeng 2, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap kesemua mereka mendapati penyelia kedai berusia 32 merupakan warga tempatan bersama sembilan pekerja warga asing berusia dalam lingkungan 25 hingga 40 tahun itu masih dalam tempoh kuarantin bermula 18 hingga 27 Ogos.

"Hasil siasatan juga mendapati penyelia premis tersebut telah mengarahkan sembilan pekerja terbabit yang tinggal di aras dua supaya datang bekerja pada pada jam 8 pagi di tingkat bawah premis berkenaan.

"Tangkapan dibuat terhadap penyelia premis bersama kesemua pekerja tersebut kerana telah melakukan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pelan Pemulihan Negara Fasa 2," katanya menerusi satu kenyataan akhbar pada Ahad.

Menurutnya, perintah kuarantin dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kampar dan kesemua mereka dipakaikan gelang kuarantin pada pada 20 Ogos lalu.

Jelas Hasron, kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin

merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa.

Artikel Berkaitan:

Katanya, perbuatan itu juga turut disiasat di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Tambah beliau, kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.