Pemandu grab akan dilengkapi NUR Alert

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Syarikat e-panggilan, Grab Malaysia hari ini melancarkan kempen #SaferEveryday dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia bagi membantu usaha masyarakat membanteras jenayah berkaitan kanak-kanak khususnya kes kanak-kanak hilang.

Pengarah Negara Grab Malaysia, Sean Goh berkata menerusi kerjasama itu, pemandu Grab di 35 bandar raya akan menerima sistem amaran kanak-kanak hilang NUR Alert.

“Pihak berkuasa sudah lakukan yang terbaik namun kuasa untuk membolehkan ratusan ribu rakyat Malaysia saling melindungi serta berkongsi maklumat dan bekerja bersama bagi memastikan keselamatan semua... itu adalah kunci sebenar dalam membantu kita melangkah sebagai sebuah negara,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran kempen #SaferEeveryday, di sini.

Selain berkongsi NUR Alert menerusi rangkaian kerja pemandu-rakan kongsi, Grab juga akan meneroka penambahbaikan seterusnya bagi membangunkan cara baharu untuk menimbulkan kesedaran tentang NUR Alert dalam kalangan penumpang serta masyarat lebih luas, katanya.

Sistem NUR Alert merupakan inisiatif kebangsaan yang membantu menyebarluaskan maklumat berkaitan kehilangan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah secepat mungkin.

Kempen #SaferEeveryday itu dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh. Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Salehhudin Abd Rahman.

Sementara itu, Yeoh berkata kerjasama tersebut merupakan langkah yang baik dalam melindungi kanak-kanak di Malaysia yang terdedah kepada pelbagai jenayah.

Katanya Grab merupakan rakan kongsi strategik NUR Alert ke-39 dan berharap kerjasama itu akan menyumbang ke arah penyelesaian lebih pantas dalam kes kanak-kanak hilang.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis itu Yeoh turut mengumumkan peruntukan RM50,000 bagi memperkasa Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Peruntukan itu katanya diharapkan dapat membantu melancarkan siasatan dan menyelesaikan kes dengan segera selain meningkatkan sistem NUR Alert.

"Saya percaya D11 memerlukan teknologi terkini untuk menyiasat kes dan memerlukan peralatan yang sesuai bagi melancarkan siasatan," katanya.- Bernama