Struktur semula kementerian supaya fungsi tersusun

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) berharap pertimbangan Perdana Menteri untuk menstrukturkan semula setiap kementerian supaya fungsinya lebih tersusun dan terkoordinasi.

Presidennya Adnan Mat berkata, perkara itu amat penting supaya setiap kementerian dapat memberi fokus kepada visi dan misi masing-masing dalam berdepan cabaran pandemik Covid-19.

Menurutnya, setiap lantikan ketua setiausaha atau pegawai tertinggi perlu dilantik berdasarkan hierarki kelayakan dan kebolehan tanpa dipengaruhi faktor politik atau calon kegemaran menteri.

“Perkara ini (penstrukturan semula) penting bagi memastikan jentera pentadbiran Perdana Menteri dan Ahli Jemaah Menteri dapat dibantu oleh pegawai kerajaan yang berkaliber, berintegriti dan berkebolehan sekali gus memastikan keberhasilan program kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Adnan berkata, penjawat awam akan sentiasa bersama dengan kerajaan pimpinan Ismail Sabri untuk terus memajukan negara ke arah yang lebih cemerlang dan seterusnya memberi perkhidmatan berkesan serta berkualiti kepada rakyat dan negara.

Tambah beliau, walaupun kerajaan bersilih ganti, namun perkhidmatan awam tetap kekal setia secara neutral meneruskan khidmat menjaga kesejahteraan negara secara menyeluruh di bawah payung institusi raja.

“Cuepacs dan penjawat awam akan terus memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan berkesan kepada rakyat dan negara bersandarkan teras taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Adnan berkata Cuepacs berharap pelantikan Ismail Sabri itu dapat menamatkan kemelut politik dalam negara supaya semua pihak termasuk pemimpin parti politik dapat bersama dengan rakyat dan kerajaan memerangi pandemik Covid-19. - Bernama