Jawatan TPM wajar diberi kepada Bersatu: Mazlan

Mazlan menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang SPM 2020, Nur Asida Saiful Hadi dalam program Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang pada Sabtu.
Mazlan menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang SPM 2020, Nur Asida Saiful Hadi dalam program Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang pada Sabtu.
A
A
A

PASIR GUDANG - Jawatan Timbalan Perdana Menteri wajar diberikan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang merupakan parti kedua mempunyai kerusi paling banyak dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Bekas Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang berpendapat, ia juga selaras dengan pengorbanan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkorban meletak jawatan bagi memberi laluan kepada wakil UMNO menjadi Perdana Menteri.

"Ini (tuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri) hak parti masing-masing.

Sesiapa saja boleh membuat tuntutan kerana ketika ini tidak ada parti yang betul-betul cukup majoriti dan harap parti lain beri sokongan.

"Saya difahamkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di Kampung Pasir Putih di sini pada Sabtu.

Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor itu menyampaikan sumbangan kepada Nur Asida Saiful Hadi dari kampung tersebut yang memperoleh keputusan 8A dalam keputusan peperiksaan SPM 2020.

Pada Khamis Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri James Jemut Masing menegaskan, jawatan Timbalan Perdana Menteri wajar diberikan kepada pemimpin dari Sabah dan Sarawak sebagai mengiktiraf sumbangan dua negeri ini dalam pembentukan kerajaan dan politik yang stabil.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, tuntutan GPS untuk jawatan itu atas alasan pemimpin dari Malaysia timur tidak pernah diberikan jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini.