Hangus duit RM12,600 angkara pegawai LHDN 'palsu'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang kerani sebuah syarikat kerugian RM12,600 akibat ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dari Cyberjaya pada 29 Jun lalu.

Wanita berusia 36 tahun menetap di Mentakab, Temerloh itu menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa sebagai pegawai LHDN dan memaklumkan mangsa mempunyai cukai tertunggak di atas perniagaan miliknya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menafikan dakwaan itu, namun panggilan terbabit disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

Menurutnya, mangsa kemudian dimaklumkan oleh pegawai polis di IPK Pahang maklumat peribadinya telah disalahgunakan sebelum dituduh terlibat dalam kes jenayah.

"Pada 5 Julai lalu, mangsa menerima satu pesanan ringkas daripada aplikasi WhatsApp yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis dari IPK Pahang.

"Suspek memaklumkan mahu membantu mangsa menyelesaikan masalah cukai dan kes jenayah dihadapinya dengan syarat mangsa perlu memasukkan semua wang simpanannya ke dalam akaun diberikan bagi tujuan siasatan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, mangsa tanpa berfikir panjang melakukan pemindahan yang sebanyak RM12,600 pada hari sama.

Katanya, selepas selesai membuat pemindahan wang itu, mangsa mula merasa curiga dan tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh pada Petang Jumaat.

Artikel Berkaitan:

"Modus operandi digunakan memperdaya mangsa menerusi panggilan dan menyamar sebagai pihak berkuasa sehingga menyebabkan mangsa kerugian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan kesalahan ini memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun selain sebatan dan denda," katanya.