UMNO Kelantan harap Ismail Sabri bertugas penuh tanggungjawab

Ahmad Jazlan
Ahmad Jazlan
A
A
A

KOTA BHARU - UMNO Kelantan berharap Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan berintergriti.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, pihaknya juga merafak setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah yang telah memperkenan pelantikan berkenaan.

Menurutnya, rakyat seluruh negara berharap Ismail Sabri dapat menjalankan amanah itu sebaik mungkin demi menjaga kebajikan rakyat, agama, bangsa dan negara.

"Konsisten dengan prinsip dan pendirian kepatuhan kepada parti dan pucuk pimpinan, kami mengucapkan terima kasih kepada pucuk kepimpinan UMNO serta seluruh Ahli Majlis Tertinggi UMNO di atas keputusan sebulat suara menyokong pencalonan Datuk Seri Ismail sebagai Perdana Menteri Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Menurutnya, UMNO Kelantan sepadu dalam sokongan pelantikan ini dan berdoa agar kabinet baharu dibentuk nanti dapat memacu Malaysia ke arah lebih baik bagi menghadapi masa yang mencabar dengan mendahulukan kebajikan rakyat.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ahli Parlimen Bera, Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri dijadualkan pada 21 Ogos 2021 iaitu Sabtu jam 2.30 petang di lstana Negara.

Artikel Berkaitan: