X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 23 Mei 2022

Istiadat angkat sumpah jadi tumpuan hari ini

Rakyat Malaysia akan menyaksikan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri pada jam 2.30 petang ini di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara.
A
A

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia akan menyaksikan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri pada jam 2.30 petang ini.

Istiadat tersebut akan diadakan di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ismail Sabri dijangka ditemani isteri beliau, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.

Antara yang bakal turut serta pada istiadat itu ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Bagaimanapun, selepas istiadat selesai, Ismail Sabri perlu berada di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato' Onn untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Ismail Sabri Yaakob 
 - Foto Bernama
Ismail Sabri Yaakob 
 - Foto Bernama

Mesyuarat yang dijangka berlangsung pada jam 8 malam itu masih belum diketahui secara rasmi mengenai agenda yang bakal dibincangkan.

Bagaimanapun beberapa pemimpin UMNO yang dihubungi Sinar Harian memberitahu, ia ada kaitan dengan langkah seterusnya bagi parti tersebut yang kembali menguasai kerajaan selepas kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Antara yang menjadi persoalan penting ialah nama kerajaan yang bakal dibentuk itu sama ada menggunakan Kerajaan BN, Kerajaan PN atau mungkin satu nama yang berbeza.

Selain itu, perkara yang akan turut dibincangkan ialah pembentukan kabinet.

Turut menjadi perhatian ialah sokongan bersyarat yang diumumkan oleh Perikatan Nasional yang mahu supaya kabinet yang dibentuk itu terdiri daripada individu yang mempunyai integriti yang tinggi.

Ismail Sabri juga berdepan dengan situasi yang amat sukar kerana negara masih belum bebas daripada ancaman Covid-19 dan masalah ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik itu.

Ismail Sabri merupakan Timbalan Perdana Menteri paling cepat menjadi Perdana Menteri selepas tidak sampai dua bulan mengisi jawatan kedua tertinggi dalam kerajaan pada 7 Julai lepas.

Pelantikan Ahli Parlimen Bera sebagai Perdana Menteri itu adalah bagi mengisi kekosongan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai pada 16 Ogos lepas susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Ia berikutan penarikan sokongan 15 Ahli Parlimen UMNO terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin, yang merupakan Ahli Parlimen Pagoh dan Presiden Parti Bersatu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!