Semua perlu berlapang dada, hormati pelantikan Ismail Sabri

Anthony Loke Siew Fook
Anthony Loke Siew Fook
A
A
A

SEREMBAN - Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook meminta semua pihak berlapang dada dan menghormati pelantikan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Kata ahli Parlimen Seremban itu, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang berkenan melantik ahli Parlimen Bera itu, selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan kerana beliau mendapat sokongan 114 ahli Dewan Rakyat.

"Semua pihak perlu menghormati keputusan tersebut kerana ia berlandaskan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan selari dengan prinsip Keluhuran Perlembagaan.

"Walaupun Datuk Seri Ismail Sabri bukan pilihan saya dan rakan-rakan sebagai Perdana Menteri, namun kami perlu patuh kepada keputusan tersebut untuk memastikan kelangsungan sistem Demokrasi Berparlimen kita yang berteraskan kepada prinsip Raja Berperlembagaan.

"Sudah tentu ramai penyokong kami yang kecewa dan bertanya mengapa parti UMNO yang dikalahkan pada PRU14 (Pilihan Raya Umum 14) kini kembali berkuasa? Mengapa pembangkang tidak ada strategi lain? Mengapa bukan calon lain? Mengapa tawaran Tan Sri Muhyiddin untuk berdamai ditolak? dan banyak lagi persoalan. Semua ini adalah polemik yang tidak ada kesudahannya kerana masing-masing ada pandangan sendiri.

"Hakikatnya, semua 105 ahli Parlimen dalam blok pembangkang bersatu dalam keputusan kita dan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon tunggal dari blok pembangkang,"katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Jelasnya, isu yang menyebabkan Pakatan Harapan (PH) tidak dapat mengambil balik semula tampuk kerajaan dan menaikkan semula UMNO bukanlah mereka yang dalam blok pembangkang pada hari ini, sebaliknya 18 ahli Parlimen yang menang di atas tiket PH pada PRU 14 lalu, iaitu 12 dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan enam dari Parti Bersatu, merekalah yang menjatuhkan kerajaan PH pada Februari 2020 dan menaikkan UMNO.

Mengulas lanjut Anthony Loke berkata, biarlah rakyat menjadi penentu dan hakim pada PRU15 nanti.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi bermula sekarang sehinggalah PRU15, semua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang perlu mencari satu titik persefahaman, untuk mengembalikan fokus sepenuhnya terhadap usaha memerangi wabak Covid-19 dan merendahkan suhu politik.

"Semua pihak perlu berlapang dada dan mengambil iktibar daripada nasihat Seri Paduka Baginda supaya menghulurkan tangan untuk bekerjasama, agar yang menang tidak menang semua, manakala yang kalah tidak kalah semua,"katanya.