Banjir Yan: Desak siasatan awam bebas kenal pasti punca

Lebih 10 kampung di kaki Gunung Jerai dan taman perumahan di bandar Yan serta Gurun dilanda banjir kilat akibat fenomena kepala air.
Lebih 10 kampung di kaki Gunung Jerai dan taman perumahan di bandar Yan serta Gurun dilanda banjir kilat akibat fenomena kepala air.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Majlis Belia Negeri Kedah (MBNK) menggesa kerajaan negeri Kedah menggerakkan siasatan awam bebas bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian banjir besar di Yan, Kedah.

Presiden MBM, Jufitri Joha berkata, siasatan tersebut perlu juga mengenal pasti kelemahan dan langkah segera yang boleh dilakukan bagi memulih dan mencegah bencana tersebut daripada berulang.

Menurutnya, tindakan tersebut diyakini mampu menamatkan segala spekulasi sekali gus mencari jawapan yang jelas bagi menegakkan keadilan dan kebenaran tanpa secara semberono menuding jari mencari kesalahan mana-mana pihak.

“Penduduk Yan juga berhak mengetahui punca sebenar berlaku banjir luar biasa ini kerana ia menyebabkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda dan kerosakan ekosistem persekitaran Gunung Jerai.

“Jika sekiranya terbukti ada pihak yang bersalah, maka mereka wajib dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada 18 Ogos lalu, lebih 10 kampung di kaki Gunung Jerai dan taman perumahan di bandar Yan serta Gurun dilanda banjir kilat akibat fenomena kepala air.

Akibat kejadian itu, empat mangsa disahkan meninggal dunia manakala dua lagi masih belum ditemui.

Pada masa sama, Jufitri berkata, MBM dan MBNK turut merakamkan ucapan takziah kepada penduduk Yan telah kehilangan ahli keluarga dan mengalami kerosakan harta benda ekoran daripada bencana tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, MBM dan MBNK dengan kerjasama beberapa pihak berautoriti telah menggerakkan penyelarasan misi dan strategi bantuan banjir dengan kebenaran pihak berkuasa.

Dalam pada itu, Jufitri memberitahu, MBM dan MBNK memandang serius isu berkaitan alam sekitar kerana ia merupakan antara cabaran terbesar semasa yang berlaku di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

“Jika tidak ditangani secara serius ia akan menjadi krisis terbesar jangka panjang selepas Covid-19, Situasi ini akan menjejaskan hak generasi muda dan masa hadapan untuk mewarisi alam ini secara baik dan sempurna,” ujarnya.