X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Banjir: 153 mangsa masih berada di enam PPS di tiga negeri

Keadaan sungai yang di penuhi dengan kayu balak di Taman Rekreasi Titi Hayun selepas banjir kilat susulan kejadian kepala air di kaki Gunung Jerai di Titi Hayun Yan hari ini. --Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 153 individu daripada 44 keluarga masih berada di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah, Perak dan Pulau Pinang setakat pagi Jumaat susulan bencana banjir yang berlaku sejak Rabu.

Di Kedah, dua mangsa daripada satu keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Yan, manakala 32 mangsa daripada enam keluarga lagi berada di dua PPS di Bandar Baharu iaitu PPS SK Sungai Salleh dan PPS SK Selama.

“Sebuah lagi PPS di Yan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Teroi yang dibuka bagi menempatkan mangsa yang positif Covid-19 masih aktif dibuka walaupun tiada kemasukan buat masa ini.

“Selain itu, satu lagi PPS iaitu SMK Lubuk Buntar yang juga tidak mempunyai mangsa masih aktif dibuka,” kata jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah menerusi kenyataan pada Jumaat

Di Perak pula, seramai 95 orang daripada 29 keluarga dari dua daerah masih ditempatkan di dua PPS.

“Tujuh mangsa daripada sebuah keluarga di daerah Teluk Intan ditempatkan di sebuah PPS iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Smart Batu 8, Jalan Changkat Jong.

“Sementara itu di Taiping, seramai 88 orang melibatkan 28 keluarga kini berada di PPS Sekolah Kebangsaan Matang, berikutan air banjir yang belum surut dan masih tidak dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pagi ini,” kata jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Bencana Perak.

Di Pulau Pinang, pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang, Phee Boon Poh memaklumkan sebuah PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan( SK) Jawi yang menempatkan 24 orang daripada lapan keluarga, berbanding 35 orang petang Khamis.

"Seramai 11 orang daripada tiga keluarga telah dibenarkan pulang selepas air di kawasan rumah mereka surut manakala 24 mangsa banjir lagi masih ditempatkan di PPS SK Jawi kerana kediaman mereka belum selamat untuk diduduki.

"Ada rumah mereka yang air telah surut namun belum sempat untuk pulang cuci kerana kesan banjir dan kotoran yang teruk dalam kediaman," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Ketika ini cuaca di negeri ini kelihatan baik dan air di kawasan banjir juga mulai surut. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!