Kelulusan bina Hospital Semenyih bukan kuasa KKM

Dzulkefly (tengah) melawat pusat pameran di Simposium Antarabangsa Onkologi dan Perubatan Fizik 2019, hari ini.
Dzulkefly (tengah) melawat pusat pameran di Simposium Antarabangsa Onkologi dan Perubatan Fizik 2019, hari ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminta semua kementerian terlibat dalam cadangan pembinaan fasiliti kesihatan di DUN Semenyih memberi komitmen sewajarnya.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia termasuk kelulusan pembangunan hospital atau klinik kesihatan kerana ia bukanlah di bawah bidang kuasa KKM sebaliknya Kementerian Kewangan.

"Bab meluluskan hospital atau klinik kerajaan, bukan bidang kuasa KKM kerana akhirnya, cadangan itu akan diluluskan Kementerian Kewangan. Saya tak pasti kepala siapa yang nak kena ketuk.

"Namun seperti yang saya katakan sebelum ini, kita akan bangunkan dari sudut fasiliti kesihatan di DUN Semenyih. Bagaimanapun, cadangan itu memerlukan kerjasama dan komitmen semua pihak," katanya selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Onkologi dan Perubatan Fizik 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sindiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap barisan Kabinet bahawa calon PH, Muhammad Aiman Zainali boleh meminta hospital baharu seperti yang diimpikannya untuk penduduk Semenyih.

Pengerusi PH itu berkata, di bawah kerajaan PH, jika Muhammad Aiman menang, dia boleh tunaikan janji-janjinya berbanding calon BN dengan berbisik kepada menteri bahawa rakyat memerlukan hospital.

Mahathir menambah, jika menteri berkenaan masih tidak membenarkannya, maka kepala menteri tersebut akan diketuk.

Dzulkefly berkata, sekiranya Dr Mahathir mengisyaratkan cadangan itu, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dalam merealisasikannya namun Kementerian Kewangan yang menentukan kewangan negara mampu atau tidak.

Artikel Berkaitan:

"Jika sudah bersedia, saya lebih suka untuk membina sebanyak mungkin fasiliti tetapi apa-apa pun saya perlu nyatakan bahawa tanggungjawab itu penting. Ikutkan cadangan saya, saya nak buat untuk seluruh negara tetapi kita kena jimat cermat dan berhati-hati dengan keadaan kewangan.

"Jika Tun dan Lim Guan Eng mengizinkan, saya tak ada masalah. Saya tahu Tun amat faham dengan perkara itu (kewangan negara). Tetapi apabila Tun mengisyaratkan (cadangan itu), mungkin Kementerian Kewangan perlu memberikan peruntukan. Saya bersedia untuk membantu kerana ia mengisi keperluan rakyat," katanya.

Menurutnya, beliau akan membangkitkan cadangan itu dalam Kabinet untuk mendapat sokongan dari Dr Mahathir dan Guan Eng.

"Saya akan tanya mereka untuk sokongan mereka. Jika mereka sokong, saya tak ada masalah tetapi perlu kerjasama semua pihak, jangan pula saya saja yang kena dan dipertanggungjawabkan.

"Tetapi saya yakin, jika Tun dah memberi isyarat, kita tak ada masalah untuk membangunkan. Buat masa ini, kita hanya membaik pulih Hospital Kajang melalui Kompleks Wanita dan Kanak-kanak. Hospital ini terletak paling dekat dengan Semenyih," katanya.