Kepala air Gunung Jerai: Siasatan telus cari punca bencana

Banjir lumpur tebal meliputi persekitaran perumahan akibat kesan fenomena kepala air dari Gunung Jerai pada petang Rabu. Gambar Kecil: Johari Abdul
Banjir lumpur tebal meliputi persekitaran perumahan akibat kesan fenomena kepala air dari Gunung Jerai pada petang Rabu. Gambar Kecil: Johari Abdul
A
A
A

ALOR SETAR - Siasatan telus dan terperinci wajar dilakukan untuk mencari punca berlakunya bencana alam akibat fenomena kepala air dari Gunung Jerai pada petang Rabu.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, ia bagi mengelak tragedi sama berulang kerana mengakibatkan banyak kemusnahan serta kerugian terutama kepada penduduk di beberapa kawasan sekitar Jerai, Gurun, Tupah, Yan serta Merbok.

AhIi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun itu turut menggesa supaya tindakan drastik diambil oleh kerajaan negeri bagi memastikan bencana yang meragut nyawa itu tidak berlaku di kawasan lain.

“Mangsa yang terlibat mengalami trauma, bukan sahaja kehilangan ahli keluarga dan harta benda. Kerajaan negeri harus membantu mangsa dengan memberikan bantuan sewajarnya.

"Saya dan seluruh rakyat Malaysia mendoakan mangsa terlibat dipermudahkan segala urusan dan bersabar dengan ujian diberikan,” katanya menerusi status di Instagram pada Khamis.

Dalam pada itu, Johari yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah menggerakkan bantuan kepada mangsa terlibat.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada pasukan kami yang diketuai oleh Bendahari Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kedah, Datuk Dr Zulkifli Mohamad bersama Ketua Wanita, Datin Sabrina Ahmad yang bertungkus-lumus menghulurkan bantuan.

"Lain-lain bantuan susulan akan cuba diusahakan bagi sama-sama membantu mangsa terlibat dalam bencana ini. Semoga bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan: