Pengasas rumah penjagaan didakwa esok

PDRM
PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengasas sebuah rumah penjagaan akan didakwa di Mahkamah Seksyen, Jalan Duta, di sini, pada Jumaat berhubung pertuduhan pengabaian terhadap kanak-kanak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan, mengesahkan perkara itu.

"Dia (pengasas rumah penjagaan) akan didakwa pada 20 (Ogos) ini mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Siasatan dijalankan kerana suspek dipercayai melakukan pengabaian terhadap kanak-kanak di bawah jagaannya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini, pengasas rumah penjagaan berusia 29 tahun itu memfailkan permohonan untuk mendapatkan semula lima anak angkatnya yang kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pada Julai lalu, media melaporkan seorang wanita yang juga pengasas rumah penjagaan ditahan polis selepas hadir di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kuala Lumpur untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes penderaan seorang remaja orang kurang upaya (OKU).

Polis juga memohon supaya wanita itu ditahan reman bagi membantu siasatan kes berkenaan, bagaimanapun Mahkamah Majistret menolak permohonan itu berikutan ia dilakukan melebihi tempoh 24 jam dari tempoh wanita itu ditahan.

Seorang remaja sindrom down berusia 13 tahun dipercayai didera di sebuah pusat penjagaan milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di ibu kota.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, rumah penjagaan berkenaan disita melalui perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 5 Julai lalu.

Selepas itu, Pelindung Unit Kanak-Kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil tindakan terhadap enam kanak-kanak dengan mengeluarkan mereka daripada rumah kebajikan itu.