Penghantar makanan maut, hasrat berkahwin tidak kesampaian

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk tindakan lanjut.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk tindakan lanjut.
A
A
A

SEREMBAN - Hasrat seorang penghantar makanan untuk mendirikan rumah tangga dengan tunangnya tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat di Jalan Seremban-Paroi di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.55 pagi itu, Khairil Anwar Radhuan, 27, menemui ajal selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Alza ketika dalam perjalanan menghantar pesanan makanan pelanggan.

Abang sulung mangsa, Mohammad Faisal Radhuan, 33, berkata, dia menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada kawan Allahyarham.

"Ketika itu saya sedang bekerja dan rakan sekerja arwah hubungi saya beritahu adik saya kemalangan.

"Saya pada awalnya ingat kemalangan biasa saja dan bila tengok gambar keadaan arwah, saya tahu yang dia sudah meninggal dunia," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar di sini pada Khamis.

Menurutnya, Allahyarham yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik sudah dua tahun bekerja sebagai penghantar makanan dan sedang menunggu waktu untuk diijabkabul.

Ujarnya, Allahyarham juga gigih mengumpul wang untuk majlis perkahwinannya.

"Arwah bertunang awal tahun ini dan sedang menunggu panggilan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) untuk acara akad nikah.

Artikel Berkaitan:

"Kalau JHEAINS telefon hari ini, hari ini juga dia kahwin. Tapi ia tak kesampaian," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk tindakan lanjut.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk tindakan lanjut.

Apa yang paling menyentuh hati Mohammad Faisal apabila ayahnya memberitahu yang Allahyarham seperti mengetahui pemergiannya apabila memeluk dan mencium ayah sebelum keluar bekerja pada pagi Khamis.

Tambahnya, perbuatan itu jarang dilakukan Allahyarham kerana dia tinggal bersama ibu bapa.

"Itu yang ayah sedih sangat kerana pelukan dan ciuman itu rupa-rupanya yang terakhir daripada arwah.

"Saya pula kali terakhir tengok arwah malam tadi (Rabu) apabila dia secara tiba-tiba masuk ke dalam perbincangan saya dengan adik perempuan di Google Meet," katanya.

Mohamad Faisal juga menyifatkan Allahyarham sebagai anak yang baik dan sangat membantu keluarga.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, kemalangan itu mengakibatkan mangsa cedera parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi.

"Pemandu Perodua Alza lelaki berusia 32 tahun pula tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,"katanya.