20 pekerja hotel terperangkap dibawa turun pagi ini

Muhammad Sanusi (tengah) mendengar penerangan daripada anggota bomba ketika meninjau lokasi kejadian di Gunung Jerai pada Rabu.
Muhammad Sanusi (tengah) mendengar penerangan daripada anggota bomba ketika meninjau lokasi kejadian di Gunung Jerai pada Rabu.
A
A
A

KUALA MUDA - Seramai 20 pekerja Hotel The Jerai Hill Resort yang terperangkap di atas Gunung Jerai akan dibawa turun pada pagi Khamis.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kesemua mereka dalam keadaan selamat walaupun terputus bekalan elektrik.

Katanya, kerja-kerja menyelamat akan dilaksanakan sebaik sahaja laluan yang ditutupi tanah runtuh dibersihkan.

"Mereka sekarang berada di tempat yang selamat dan akan dibawa turun pagi esok (Khamis). Setakat ini mereka bergantung pada genset untuk mendapatkan bekalan elektrik," katanya ketika sidang media selepas membuat tinjauan di atas Gunung Jerai di sini pada Rabu.

Menurutnya, laluan ke Gunung Jerai ditutup kepada orang awam dan kejadian tanah runtuh itu berlaku kira-kira setengah jam perjalanan untuk sampai ke puncak.

Muhammad Sanusi sebelum itu dalam satu kenyataan turut menafikan kejadian banjir kilat itu disebabkan aktiviti pembalakan.

"Laporan daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah mengesahkan tiada aktiviti pembalakan di Gunung Jerai sejak 30 tahun lalu, dan kawasan ini diwartakan sebagai hutan perlindungan.

"Kayu-kayu yang hanyut itu adalah kayu reput dan tumbang. Apabila air laju, maka kayu itu hanyut di bawa air ke kawasan penempatan penduduk," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKE BERKAITAN: Tiada aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Gunung Jerai: MB Kedah

Yan dilanda banjir terburuk