Pencalonan Ismail Sabri bakal teruskan legasi kleptokrat: Mahfuz

Mahfuz menunjukkan surat akuan memilih calon Perdana Menteri ke-9 di pejabat Pesuruhjaya Sumpah Rashid di sini pada Rabu.
Mahfuz menunjukkan surat akuan memilih calon Perdana Menteri ke-9 di pejabat Pesuruhjaya Sumpah Rashid di sini pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Pencalonan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri ke-9 membuktikan Barisan Nasional dan UMNO tidak mempunyai calon yang bebas daripada legasi kleptokrat.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, ahli Parlimen Bera itu juga merupakan calon yang sangat dikesali oleh seluruh masyarakat Malaysia kerana mengkhianati mandat rakyat bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Katanya, amat malang jika negara ini ditadbir oleh pemimpin yang mewarisi legasi kegagalan sebelum ini kerana ia juga akan menggugat keyakinan masyarakat antarabangsa khususnya pelabur- pelabur asing.

"Saya melihat UMNO mencalonkan seorang calon yang sangat dikesali oleh seluruh masyarakat dan rakyat Malaysia, calon daripada UMNO ini menunjukkan UMNO tidak mempunyai kepimpinan yang bebas daripada legasi kegagalan.

"Ismail adalah warisan daripada legasi kleptokrat yang bersama-sama membentuk kerajaan kleptokrat, dia juga merupakan legasi khianat Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap mandat rakyat (pada PRU-14), dia juga legasi daripada kerajaan gagal yang telah pun disuarakan oleh seluruh masyarakat dan rakyat Malaysia, dia juga adalah legasi tidak menghormati institusi diraja," katanya ketika ditemui selepas menandatangani akuan bersumpah dalam mencalonkan nama Perdana Menteri di Pejabat Pesuruhjaya Sumpah Rashid di sini pada Rabu.

Bagaimanapun, beliau sentiasa menghormati apa jua keputusan yang dibuat mana-mana pihak termasuk UMNO dalam menjunjung amalan demokrasi yang diamalkan di Malaysia.

"Bagi saya itu hak UMNO untuk membuat satu kenyataan walaupun saya pun tak tahu siapa yang mempunyai majoriti sama ada di sini atau sebelah sana," katanya.

Sementara itu, Mahfuz berkata, adalah menjadi satu perkara yang amat janggal sekiranya ahli-ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyokong calon daripada sebuah parti yang telah membuang Presiden mereka daripada jawatan Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga percaya perkiraan UMNO untuk mencalonkan Ismail adalah untuk kepentingan kepada kluster mahkamah.

"Muhyiddin sebelum ini menyatakan bahawa tidak akan bertolak ansur dengan isu kleptokrat dan kelompok mahkamah.

"Jadi, kalau ahli-ahli Parlimen Bersatu boleh bersama dengan menyokong calon UMNO bermakna bahawa cakap Tan Sri Muhyiddin itu hanya cakap-cakap kosong yang mahu menunjukkan dia seorang hero yang menentang kluster mahkamah," katanya.

Pada Selasa, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi ciapan di laman Twitter mengesahkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah calon tunggal Perdana Menteri daripada BN.

Kenyataan berkenaan turut disokong ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang menyatakan bahawa Ismail Sabri merupakan calon yang layak untuk memegang jawatan tersebut berdasarkan kedudukan secara teknikal bahawa beliau adalah bekas Timbalan Perdana Menteri dan Naib Presiden UMNO.