Bicara 1MDB tangguh, Najib hadir mesyuarat lantik PM baharu

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini selepas hadir sambung bicara bagi kes yang dihadapinya berhubung kes pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion. - Foto Bernama
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini selepas hadir sambung bicara bagi kes yang dihadapinya berhubung kes pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, ditangguh ke petang ini kerana bekas Perdana Menteri perlu menghadiri mesyuarat BN berhubung isu pelantikan Perdana Menteri yang baharu.

Perkara itu disampaikan oleh peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika prosiding tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Muhammad Shafee berkata, Najib yang merupakan penasihat BN perlu menghadiri mesyuarat yang dijadualkan jam 11 pagi ini.

“Anak guam saya perlu hadir dalam mesyuarat itu kerana ada pertemuan antara semua parti komponen BN dan beberapa parti politik lain yang tidak dapat didedahkan sekarang.

"Beliau dijangka mengikuti mesyuarat bersama Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di World Trade Center di sini,” katanya.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan tersebut.

Sequerah berkata, kebenaran diberi mengenangkan keadaan isu semasa ketika ini dan merasakan kepentingan pertemuan itu dalam mencapai beberapa penyelesaian.

“Saya tidak mahu ada perkara lain yang timbul mengenai permohonan perjumpaan atau acara dibenarkan, hanya aplikasi ini.

Artikel Berkaitan:

“Namun prosiding perlu diteruskan pada sebelah pada 2.30 petang, selepas mesyuarat itu selesai” katanya.

Pada prosiding petang ini, Muhammad Shafee dijangka meneruskan pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan ke-10, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abd Rahman.

Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung jam 2.30 petang ini.