[VIDEO] 'Calon PM baharu tidak boleh terikat dengan struktur Kabinet PN'

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A
SHAH ALAM - Pemuda UMNO menegaskan Perdana Menteri baharu yang bakal dicalonkan oleh Barisan Nasional dan UMNO tidak boleh terikat dengan apa jua bentuk perjanjian bagi mengekalkan struktur Kabinet kerajaan Perikatan Nasional yang lalu.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, calon tersebut juga perlu taat kepada titah Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong mengenai keperluan untuk mewujudkan sebuah kabinet yang mampu menyatukan kesemua parti politik bagi menangani Covid-19.

“Sebagaimana dimaklumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berkongsi intipati titah Tuanku, Yang di-Pertuan Agong berkali-kali menegaskan dalam sesi menghadap ketua-ketua parti semalam (Selasa), ‘yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua’.

“Tentunya ada sebab dengan penuh hikmah kenapa Tuanku menitahkan ‘undi percaya’ atau ‘vote of confidence’ dilakukan di Parlimen untuk mengabsahkan kedudukan Perdana Menteri, setelah dinamakan kelak oleh Seri Paduka Baginda,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau pada Rabu.

Awal pagi Rabu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan UMNO dan BN akan meletakkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob sebagai calon Perdana Menteri yang akan dipersembahkan kepada Istana Negara.
Artikel Berkaitan:


Kesemua anggota Dewan Rakyat telah diarahkan supaya menghantar surat akuan secara bertulis kepada Istana Negara dan menamakan calon pilihan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang kesembilan selewat-lewatnya jam 4 petang Rabu.