Cadangan kereta terbang bukan jenaka

Amir Hakimin Che Razali
Amir Hakimin Che Razali
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Persatuan Tunas Usahawan Nasional (PERTUNAS) menyambut baik cadangan Menteri Pembangunan Usahawan (MED), Datuk Seri Mohd Ridzuan Yusoff berkenaan kereta terbang pertama Malaysia yang dipacu teknologi tempatan.

Presidennya, Amir Hakimin Che Razali berkata, ia bukan perkara baharu malah ianya pernah diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton), Li Chunrong bahawa syarikat itu akan memperkenalkan tiga model kereta canggih di pasaran Malaysia dan salah satunya kereta terbang yang pertama pada 2019.

"Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely), yang merupakan pemegang terbesar dalam saham Proton dilihat mampu menghasilkan teknologi kereta terbang dengan menggunakan konsep ‘perkongsian platform’.

"Syarikat gergasi automotif China ini juga mempunyai kepakaran tersebut setelah mengambil alih teknologi Volvo dari Sweden dengan menubuhkan syarikat penerokaan teknologi kereta, Polestar," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tidak mustahil melihat kereta terbang pada 2019 atau menjelang 2020.

"Geely dan Volvo turut menubuhkan satu lagi syarikat usahasama lain iaitu Lynk & Co. bagi membangunkan kereta terbang.

"Volvo pada 2018 telah mula menguji kenderaan elektrik hybrid pertama dengan dua tempat duduk, yang boleh menukar dari mod memandu kepada mod terbang dalam masa kurang dari satu minit," katanya.

Katanya, kereta terbang yang menggunakan konsep Terrafugia itu mampu terbang sehingga 400 batu (640 km) dengan pecutan terpantas 160 km sejam.

Artikel Berkaitan:

"Kenderaan yang diberi nama model TF-X ini telah disahkan sebagai pesawat sukan ringan oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan serta memenuhi piawaian Pentadbiran Keselamatan Lebuhraya dan Lalu Lintas Kebangsaan yang berpengkalan di Amerika Syarikat," katanya.

Sehubungan itu, Amir Hakimin berkata, teknologi kereta terbang tidak boleh dipandang secara jenaka atau sinis kerana ia mampu melonjakkan pertumbuhan teknologi automotif negara.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan perlu melihat semula Dasar Automotif Negara terutama yang berkaitan cukai import perlu dikaji semula kerana ianya melibatkan Dasar Perlindungan Kereta Nasional.