X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 06 Disember 2021

Ikram, Sinar Harian semarakkan Kempen Bulan Kebangsaan

Ikram dengan kerjasama Sinar Harian melancarkan Kempen Bulan Kebangsaan 2021 pada Sabtu bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dengan kerjasama Sinar Harian melancarkan Kempen Bulan Kebangsaan 2021 bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Kempen yang bermula pada 15 Ogos 2021 hingga 16 September 2021 telah disempurnakan pelancarannya pada Sabtu lalu oleh Presiden Ikram, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad secara maya.

Mohd Parid
Mohd Parid

Menurut beliau, Ikram akan memanfaatkan Kempen Bulan Kebangsaan itu dengan memperkenalkan naratif agenda nasional dan skop pendidikan masyarakat yang fokus kepada tema perpaduan nasional.

“Agenda nasional ini akan memperkenalkan Malaysia menjadi sebuah Negara Rahmah Mithali pada 2023 mengikut acuan 12 cirinya,” jelas beliau.

"Agenda tumpu Rancangan Ikram (RI 2025) adalah membina kepimpinan berwibawa, masyarakat progresif, perpaduan nasional, kemakmuran ekonomi dan institusi kenegaraan yang utuh," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dengan tanda pagar #MerdekaBersama, pelancaran kempen tersebut turut diserikan dengan Kuiz Live berserta hadiah wang tunai terkumpul sehingga lebih RM200.

Kuiz itu juga akan berlangsung beberapa kali sepanjang Kempen Bulan Kebangsaan di Facebook Pertubuhan Ikram Malaysia.

Dalam pada itu, Pengarah Kempen, Profesor Dr Mustafa Din Subari berkata, pelbagai acara menarik bakal berlangsung sepanjang kempen tersebut antaranya penghasilan video-video bertemakan perpaduan nasional, pertandingan bercerita kanak-kanak, online gaming untuk remaja, poster digital, Bicara Bina Negara dan juga penulisan artikel.

“Yang sangat menarik bagi saya adalah pertandingan kreatif bagaimana kita menyantuni jiran ataupun rakan berlainan bangsa atau agama (Projek #MerdekaBersama),” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat Ikram yang mengetuai Unit Kajian Dasar dan Pembangunan Solusi.

Jelas beliau, bersempena dengan sambutan tersebut, Ikram turut mengambil peluang untuk mendidik dan menyampaikan kepada masyarakat umum tentang hasrat dan impian untuk sama-sama menjadi Malaysia sebuah negara rahmah mithali.

“Antara mesej utama yang hendak kita tekankan dalam Kempen Bulan Kebangsaan ini ialah kepentingan isu perpaduan nasional.

"Antara objektif kempen ini ialah untuk menunjukkan kepada masyarakat Malaysia bahawa Ikram sentiasa bersama secara aktif membina negara Malaysia baharu.

“Kita hendak menyebar luaskan impian kita, mesej dan naratif kita membina negara Malaysia yang baharu ini khususnya dalam isu perpaduan nasional,” katanya.

Selain itu, kempen tersebut memfokuskan program pendidikan kepada tiga segmen masyarakat tumpu iaitu segmen orang muda, segmen masyarakat miskin bandar dan segmen masyarakat luar bandar.

Ujar Mustafa Din, terdapat beberapa konsep dalam Kempen Bulan Kebangsaan tersebut antaranya penekanan bahawa kemerdekaan itu milik semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, agama, kedudukan dan status ekonomi.

“Kita hendak sambutan ini melibatkan seluruh lapisan masyarakat Malaysia, yang tua, yang muda, yang duduk di bandar, di luar bandar.

"Program-program sambutan ini diharapkan boleh menyentuh bukan sahaja akal fikiran dan ilmu, tetapi yang lebih penting ialah jiwa atau roh insan itu.

“Kita hendak seluruh komponen Ikram dan masyarakat keseluruhannya terlibat dalam sambutan ini,'' katanya.

Untuk info lanjut Kempen Bulan Kebangsaan 2021, sila layari laman Facebook rasmi Pertubuhan Ikram Malaysia di pautan https://fb.com/ikram.malaysia/.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!