Hormat agenda demokrasi, utama usaha tangani Covid-19

Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai
Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) menggesa semua parti politik supaya menghormati agenda demokrasi dengan mengutamakan usaha menangani Covid-19.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, tanpa mengambil kira keadaan politik semasa, tugas utama adalah mengatasi wabak dan membantu rakyat keluar daripada keadaan tertekan serta kesulitan ekonomi.

Menurutnya, walaupun Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meletakkan jawatan Perdana Menteri namun Gerakan tetap menyokong Ahli Parlimen Pagoh itu dan bersama Perikatan Nasional (PN).

"Harapan Gerakan sangat jelas iaitu mahu melihat keadaan politik negara stabil dan perjuangan politik tidak sesekali memberi kesan negatif kepada rakyat.

"Dalam keadaan kritikal ini, pemimpin negara sewajarnya fokus kepada Covid-19 dan hentikan semua agenda-agenda politik.

"Jika semua sudah pulih, rakyat dapat hidup aman, pilihan raya umum boleh diadakan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Rakyat jelasnya, sudah bosan dengan drama perjuangan politik yang tidak masuk akal ketika ini dan sudah sampai waktunya untuk semua parti membuat gencatan politik.

Dominic turut kesal dengan pendirian Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas tindakan-tindakan beliau.

Artikel Berkaitan:

Beliau percaya Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim atau DAP, mereka hanya mahukan kuasa dan pangkat maka mereka tidak boleh disokong untuk memimpin negara.

"Zahid dan Anwar berganding bahu untuk menjatuhkan PN. Semua orang sudah tahu mereka ini masing-masing mahu jadi Perdana Menteri bukan mahu menolong tangani Covid-19.

"Anwar selalu membuat ancaman berprofil tinggi seperti mengatakan cukup sokongan untuk membentuk pemerintahan baharu, tetapi pada akhirnya ia tidak berjaya," katanya.

Sehubungan itu katanya, jangan sesekali mengembalikan kuasa kepada Pakatan Harapan (PH) untuk memerintah negara.

Pertempuran dalaman ujarnya dijangka akan berlaku secara berterusan dalam kalangan mereka malah sikap pemimpin PH yang sombong hanya menyusahkan rakyat.