Tuan Ibrahim wakili Presiden Pas menghadap Agong


Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan beliau akan mewakili presiden partinya untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara jam 2 petang pada Selasa.

Perkara itu dimaklumkan Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menerusi hantaran di Facebooknya.

"Saya mewakili Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) akan ke Istana Negara menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Padukan Baginda Yang di-Pertuan Agong pada jam 2 petang.

"Saya membawa amanah presiden dan parti bagi mencadangkan pendirian parti menghadapi kemelut politik yang berlaku kini.

"Kepada ahli dan penyokong Pas diminta bertenang dan mendapatkan maklumat rasmi parti dari sumber sebenar," katanya.

Tumpuan kini terarah pada Istana Negara susulan semua ketua parti atau wakil telah dipanggil untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Difahamkan pertemuan itu akan diadakan pada jam 2 petang di Istana Negara pada Selasa.

Pada Isnin, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa serta-merta.

Artikel Berkaitan:

Susulan peletakan jawatan itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Selaras Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Yang di Pertuan Agong hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Seri Paduka Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai perdana menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.