X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 21 Mei 2022

Bentuk kerajaan inklusif libat pelbagai parti

Sebuah kerajaan inklusif melibatkan pelbagai parti perlu dibentuk Perdana Menteri baharu tatkala tiada parti politik atau gabungan mempunyai sokongan majoriti yang selesa di Dewan Rakyat.
A
A

SHAH ALAM - Sebuah kerajaan inklusif melibatkan pelbagai parti perlu dibentuk Perdana Menteri baharu tatkala tiada parti politik atau gabungan mempunyai sokongan majoriti yang selesa di Dewan Rakyat.

Timbalan Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin dan perunding polisi awam, Mohammad Abdul Hamid dalam satu kenyataan bersama berkata, langkah itu perlu bagi menjamin kestabilan politik ketika keutamaan semasa adalah untuk menangani pelbagai krisis yang melanda negara.

"Pemimpin dalam kalangan yang terbaik hendaklah diberi peluang untuk dilantik di dalam kabinet dan membawa negara ke arah pemulihan yang amat diperlukan oleh rakyat dan negara.

"Hal ini menuntut pimpinan tertinggi khususnya Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) agar berjiwa besar dengan meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan politik, apatah lagi kepentingan peribadi.

"Untuk membebaskan negara dari krisis yang melanda, kerajaan yang bakal dibentuk sudah tentu memerlukan gabungan mantap dan terbaik daripada kalangan teknokrat, profesional, pakar dan wakil pertubuhan masyarakat madani," menurut kenyataan itu pada Selasa.

Jelas kenyataan berkenaan, negara kini berada pada satu persimpangan yang sangat kritikal.

Justeru, kata mereka, pilihan yang tepat harus dilakukan dalam memilih anggota kabinet dan bukan sekadar berdasarkan keahlian parti tetapi berdasarkan kompetensi, kemampuan dan integriti.

Menurut mereka, amat malang bagi rakyat dan negara sekiranya pemimpin yang terpalit dengan skandal rasuah atau kes di mahkamah dilantik menjadi anggota kabinet.

"Pada masa sama, saiz kabinet hendaklah bersesuaian dengan keperluan dan tidak perlu terlalu besar.

"Sesungguhnya amat besar harapan rakyat Malaysia agar kerajaan yang bakal dibentuk adalah kerajaan yang inklusif, stabil, berwibawa dan berjiwa besar demi mengemudikan negara keluar dari pandemik Covid-19 serta demi kesejahteraan rakyat dan negara," kata mereka.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!