'Saya tak sempurna, mohon maaf atas kekurangan sepanjang berkhidmat'

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berharap babak politik yang berlaku pada hari ini (Isnin) akan menjadi satu lembaran baharu buat Malaysia.

Satu nafas baharu ke arah pentadbiran Malaysia yang lebih stabil, supaya tumpuan penuh dapat diberikan kepada usaha menangani cabaran pandemik Covid-19, katanya.

Beliau yang sebelum ini merupakan bekas Menteri Kewangan pada masa sama berterima kasih kepada semua kakitangan kementerian tersebut dan agensi-agensi berkaitan atas kerjasama baik selama ini.

“Selama hampir 18 bulan memegang jawatan, cabaran terbesar bagi #TeamMOF adalah memastikan aspek nyawa dan kehidupan serta kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi kekal bertahan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan MOF dan agensi-agensi berkaitan atas sokongan kerjasama yang tidak putus-putus selama saya berkhidmat.

Beliau dalam pada itu mengakui, berkhidmat sebagai Menteri Kewangan adalah menjadi kemuncak dalam kerjayanya selama ini.

“Ia sangat mencabar tetapi ia menjadi satu penghargaan terbesar buat saya kerana diberi kesempatan untuk berkhidmat untuk negara.

“Saya akui, saya tidak sempurna. Walaupun saya telah mencuba yang terbaik, masih ada ruang untuk diperbaiki.

Artikel Berkaitan:

“Saya telah melakukan tugas dengan sebaik mungkin, tetapi hanya sejarah yang akan menjadi penentu yang lebih baik,” ujarnya.

Tengku Zafrul turut memohon maaf atas segala kekurangan sepanjang berkhidmat dan mendoakan semoga ALLAH SWT memberkati negara dan rakyatnya. - Awani