50,524 pekerja industri di NS sudah divaksin satu dos

Mohamad Rafie
Mohamad Rafie
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 50,524 pekerja industri di Negeri Sembilan telah menerima vaksin Covid-19 dos pertama di dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Industri Covid-19 Awam-Swasta (PIKAS) di negeri ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, 19,296 daripada pekerja itu telah melengkapkan suntikan vaksin dos kedua.

"PPV-PIKAS d’Tempat Country Club, Sendayan yang beroperasi sejak 5 Julai lepas sehingga Ahad telah berjaya memberi 38,636 suntikan dos pertama dan 19,296 suntikan dos kedua kepada pekerja industri di Negeri Sembilan.

"PPV-PIKAS D’Cattleya, Senawang yang beroperasi pada 2 Ogos lepas pula berjaya memberi suntikan dos pertama kepada 11,888 orang pekerja setakat Ahad," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Katanya, berdasarkan rekod sehingga Jumaat lepas, sebanyak 615 syarikat dengan seramai 55,315 pekerja di Negeri Sembilan telah mendaftar bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk pemvaksinan di bawah program PPV-PIKAS.

"Di samping pemvaksinan di PPV-PIKAS, ramai juga pekerja industri Negeri Sembilan yang telah menerima suntikan vaksin di PPV awam di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Dijangka menjelang pertengahan September ini hampir kesemua pekerja industri di negeri ini bakal melengkapkan dua dos suntikan vaksin," katanya.

Artikel Berkaitan: