[VIDEO] Agong terima peletakan jawatan Muhyiddin, jemaah menteri

Kenderaan yang membawa Muhyiddin diperlahankan ketika tiba di perkarangan Istana Negara dan beliau bertindak melambaikan tangan kepada petugas-petugas media. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Kenderaan yang membawa Muhyiddin diperlahankan ketika tiba di perkarangan Istana Negara dan beliau bertindak melambaikan tangan kepada petugas-petugas media. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Istana Negara pada Isnin mengesahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh Kabinetnya telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri berkuatkuasa serta merta.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsudddin berkata, susulan daripada peletakan jawatan tersebut, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai 'caretaker' Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Berikut adalah kenyataan penuh dikeluarkan Istana Negara:

Kuala Lumpur, 16 Ogos 2021 - Adalah dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah berkenan menerima menghadap Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin bin Md. Yasin di Istana Negara, hari ini.

Adalah dimaklumkan juga bahawa terdahulu, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima menghadap Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki bin Ali, Yang Berbahagia Peguam Negara Tan Sri Idrus bin Harun dan Yang Berbahagia Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Haji Abdul Ghani bin Salleh pada jam 11.00 pagi di Istana Negara.

Pada sesi menghadap Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, yang berlangsung selama 30 minit bermula dari jam 12.30 tengah hari, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima surat peletakan jawatan Yang Amat Berhormat Tan Sri Mahiaddin bin Md. Yasin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri dengan serta-merta berkuat kuasa pada hari ini.

Susulan daripada peletakan jawatan ini, Seri Paduka Baginda telah berkenan supaya Yang Amat Berhormat Tan Sri Mahiaddin bin Md. Yasin menjalankan tugas sebagai caretaker Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Ini adalah selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Seri Paduka Baginda hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.

Artikel Berkaitan:

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Tan Sri Mahaddin bin Md. Yasin dan Jemaah Menteri atas khidmat bakti dan urus tadbir negara yang telah dilaksanakan di bawah Perikatan Nasional bermula 1 Mac 2020, khususnya dalam memerangi pandemik COVID-19.

Selaku Ketua Utama Negara, Seri Paduka Baginda memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan negara dan juga menghormati apa-apa keputusan yang dibuat oleh Yang Amat Berhormat Tan Sri Mahiaddin bin Md. Yasin berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang.

Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima sembah maklum daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa sehingga 10 Ogos 2021, daripada sejumlah 613 kawasan Dewan Undangan Negeri, sebanyak 484 kawasan (79 peratus) adalah zon merah COVID-19.

Pada masa yang sama, Seri Paduka Baginda turut mengambil maklum bahawa fasiliti-fasiliti kesihatan negara juga berada pada situasi yang membimbangkan.

Justeru, pada hemat Seri Paduka Baginda, pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 bukan satu pilihan yang terbaik atas faktor kemaslahatan dan keselamatan rakyat.

Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar kemelut politik yang berlarutan tanpa kesudahan yang telah mengganggu kelancaran tadbir urus negara ini dapat diakhiri demi kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara yang diancam oleh pandemik COVID-19.

Seri Paduka Baginda turut mengambil kesempatan ini menyeru seluruh rakyat agar bertenang dan bersama Baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera.

Dato' Indera Ahmad Fadil Shamsuddin

Datuk Pengelola Bijaya Diraja

Istana Negara