Pelabur asing kuasai RM14 juta ekuiti tempatan

Pelabur asing muncul sebagai pembeli bersih minggu lepas dengan menguasai RM14.0 juta bersih ekuiti tempatan berbanding RM451.1 juta bersih yang dilupuskan pada minggu sebelumnya. Gambar hiasan
Pelabur asing muncul sebagai pembeli bersih minggu lepas dengan menguasai RM14.0 juta bersih ekuiti tempatan berbanding RM451.1 juta bersih yang dilupuskan pada minggu sebelumnya. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelabur asing muncul sebagai pembeli bersih minggu lepas dengan menguasai RM14.0 juta bersih ekuiti tempatan berbanding RM451.1 juta bersih yang dilupuskan pada minggu sebelumnya.

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, perkembangan itu menandakan aliran masuk bersih asing mingguan yang pertama di Bursa Malaysia selepas tujuh minggu berturut-turut mencatatkan jualan bersih asing.

Beliau berkata, minggu urus niaga bermula Isnin lepas dengan aliran bersih asing yang sederhana sebanyak RM22.0 juta bersih.

Pada umumnya, pasaran tempatan agak optimis dengan pengumuman terbaharu mengenai pelonggaran sekatan pergerakan untuk individu yang telah mendapat vaksin lengkap.

Selain itu, jumlah harian kes Covid-19 pada hari berkenaan telah menurun kepada 17,236 kes daripada 18,688 kes pada hari sebelumnya.

"Ini sedikit sebanyak membantu mengurangi kebimbangan mengenai kadar penularan varian Delta yang begitu cepat di banyak negara lain," katanya kepada Bernama.

Apabila urus niaga pasaran disambung semula pada hari Rabu selepas cuti umum Awal Muharram, pelabur antarabangsa kembali untuk membeli RM30.6 juta bersih ekuiti tempatan, sekali gus menghapuskan penjualan bersih asing selama 12 hari.

"Keyakinan sebahagiannya didorong oleh langkah penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) yang bersetuju dengan rang undang-undang infrastruktur bernilai AS$1.0 trilion untuk melonjakkan ekonomi AS.

Artikel Berkaitan:

"Ini membantu mengimbangi kebimbangan terhadap serangan varian Delta di kebanyakan negara Asia. Varian ini telah mencetuskan ketakutan yang mungkin menjurus kepada sekatan pergerakan dan aktiviti lain yang boleh menjejaskan pemulihan ekonomi," kata Adam.

Bagaimanapun, aliran masuk bersih asing ke bursa tempatan tidak bertahan lama kerana pelabur asing telah melupuskan RM25.6 juta bersih ekuiti tempatan pada hari Khamis selepas Malaysia menyaksikan satu lagi rekod tertinggi kes Covid-19 sebanyak 21,668 pada hari berkenaan.

"Namun begitu, pelabur asing kembali dengan mood pembelian pada hari Jumaat dengan mencatatkan RM31.3 juta bersih ekuiti tempatan selepas data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua Malaysia mencatatkan peningkatan 16.1 peratus tahun ke tahun.

“Setakat ini, pelabur antarabangsa telah menjual RM437.1 juta bersih ekuiti tempatan bulan ini. Sementara itu berdasarkan dari awal tahun sehingga kini, penjualan bersih asing di Bursa telah mencapai RM6.0 bilion bersih, ” kata Adam. - Bernama