'Pemimpin negara sepatutnya fokus melawan Covid-19'

Zurk Ahmad. Foto ihsan Pemuda Pas Hulu Langat
Zurk Ahmad. Foto ihsan Pemuda Pas Hulu Langat
A
A
A

SHAH ALAM - Semua pemimpin di negara ini sepatutnya fokus untuk melawan Covid-19 dan bukannya berlawan sesama sendiri merebut kuasa yang akhirnya menyebabkan rakyat menjadi mangsa.

Ketua Pemuda Pas Hulu Langat, Zurk Ahmad berkata, perlu diakui kerajaan yang berperang dengan Covid-19 pada hari ini tiada pengalaman dalam menguruskan pandemik.

Malah beliau berkata, sepanjang sejarah pentadbiran negara belum pernah ada kerajaan yang mempunyai pengalaman sedemikian dan bukan negara ini sahaja malah seluruh dunia amat terkesan.

"Menyedihkan. Dalam kemelut pandemik, datang pula kemelut gila kuasa yang tidak berkesudahan. Kokok harian mereka tak lekang dari tekanan supaya perdana menteri melepaskan jawatan sudah menjadi agenda utama.

"Yang positifnya, pasukan kerajaan terus bekerja mengikut perancangan yang dipersetujui iaitu memburu angka 80 peratus capaian imuniti kelompok melalui program vaksinisasi kebangsaan.

"Pada ketika ini ia masih lagi giat berjalan dengan harapan segera berakhir. Hari ini, usaha tersebut sudah mula menampakkan hasil. Sinar cahaya mula menjenguk," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Zurk berkata, pada Sabtu rancak di media sosial mengenai perkembangan terkini penurunan penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Menurutnya, rata-rata petugas kesihatan menzahirkan rasa gembira dengan perkembangan itu dek kerana sudah kelihatan 'cahaya dihujung terowong yang gelap'.

Artikel Berkaitan:

"Setelah diberitakan sudah ada sinar cahaya, kenapa seolah beriya benar mereka mahukan kuasa? Apakah dengan menukar perdana menteri boleh mengubah angka kes dalam sekelip mata?

"Mungkin juga ini namanya strategi menangguk di air yang keruh," soalnya lagi.

Beliau berkata, statistik berkaitan keberkesanan vaksin jelas terpapar dan petugas kesihatan di ICU sudah boleh menarik nafas lega dek kerana kesesakan pesakit Covid-19 yang dihadapi mula berkurang.

"Terkini, pengumuman pembukaan semula 11 sektor ekonomi yang berkuatkuasa pada 16 Ogos ini bagi negeri yang berada dalam Pelan Pemulihan Negara Fasa 1 dan Fasa 2 jelas membuktikan komitmen kerajaan bagi membantu memulihkan ekonomi setelah usaha vaksinasi mula menampakkan hasil.

"Semoga kita semua sentiasa dipelihara oleh ALLAH dari agenda jahat yang tidak berkesudahan," katanya.