Hina agama,raja: Bukit Aman ambil alih semua kes

Noor Rashid Ibrahim
Noor Rashid Ibrahim
A
A
A

ALOR SETAR - Pasukan khas Bukit Aman dikenali Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) mengambil alih kesemua isu berkaitan penghinaan terhadap agama, kaum dan institusi diraja serta merta.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, beliau telah mengarahkan pasukan khas Bukit Aman terbabit mengambil alih isu berkaitan serta merta bagi tujuan siasatan dan pendakwaan.

Noor Rashid berkata, pasukan berkenaan diarahkan mengambil alih kesemua kes berkaitan penghinaan di seluruh negara berkuat kuasa semalam.

"Jadi, setiap laporan berhubung isu penghinaan berkenaan akan dilaporkan dan dimaklumkan terus kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan saya.

"Dengan ini, kami sendiri akan memantau setiap dari kes penghinaan sama ada melibatkan agama, kaum mahupun institusi diraja yang diterima," katanya.

Katanya, siasatan berhubung isu berkenaan diambil alih pasukan khas Bukit Aman, yang mana pihaknya akan menguruskan siasatan dan merujuk terus kepada peguam negara untuk tindakan sewajarnya.

Menurut Noor Rashid, pihaknya telah mengambil tindakan segera, yang mana ia boleh dilihat menerusi pendakwaan seorang lelaki di Selangor, semalam.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan mengambil tindakan dengan membuka siasatan kes penghinaan terhadap agama mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

"Isu sedemikian perlu ditangani memandangkan ia melibatkan sensitiviti semua pihak. Jadi, masyarakat juga perlu memainkan peranan mereka demi menjaga keharmonian," katanya.

Katanya, beliau bimbang ketegangan agama ataupun ketegangan kaum yang membawa kejadian tidak diingini berlaku, jikalau perkara sebegini tidak ditangani.

Menurutnya, beliau mendapati momentum isu penghinaan berkenaan makin berkurangan dan diharapkan semua orang dapat menjaga sensitiviti masing dengan tidak menulis sebarangan.

Terdahulu, seramai 300 orang anggota dan pegawai polis menerima Pingat Jasa Pahlawan dalam Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Siri 2/2019 Kontijen Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah.

Turut hadir, Ketua Polis Kedah, Datuk Abd Rahim Jaafar.