Singapura sambut kelahiran pertama anak panda gergasi

Panda gergasi 'Jia Jia' dengan pasangannya 'Kai Kai' menyambut kelahiran anak pertama di Safari River.. Foto: WRS
Panda gergasi 'Jia Jia' dengan pasangannya 'Kai Kai' menyambut kelahiran anak pertama di Safari River.. Foto: WRS
A
A
A

SINGAPURA - Singapura pada Sabtu menyambut kelahiran anak pertama panda gergasi 'Jia Jia' dengan pasangannya 'Kai Kai' di Safari River.

Menurut Wildlife Reserves Singapore (WRS), jantina anak panda seberat 200 gram itu belum dapat dipastikan dan akan diumum kemudian.

"Pada Julai, imbasan ultrasound menunjukkan tanda-tanda Jia Jia hamil dan sejak itu pihak kami senantiasa memantau perkembangannya,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif WRS Dr Cheng Wen-Haur, dalam satu kenyataan di sini.

Dr Wen-Haur yang juga Ketua Sains Hayat berkata, panda gergasi betina itu mengalami kepseudobuntingan, iaitu keadaan bunting yang tidak benar walaupun terdapat simptom.

"Pada 10 Ogos ketika doktor haiwan menjalankan pemeriksaan ultrasound mendapati adanya janin dan degupan jantung,” kata Dr Wen-Haur.

Pada April tahun ini, menurut WRS Kai Kai yang berumur 13 tahun dan Jia Jia, 12 tahun mula menunjukkan tanda-tanda ingin mengawan. Tempoh bunting untuk panda adalah lima bulan.

WRS dan Pusat Pemuliharaan dan Penyelidikan China untuk Panda Raksasa (CCRCGP) kemudian bekerjasama untuk memulakan pelan pembiakan.

Kai Kai dan Jia Jia yang berasal dari Pusat Panda Ya'an Bifengxia, Chengdu, China tiba di Singapura pada 6 September 2012. - Bernama

Artikel Berkaitan: