PGA rampas objek diperbuat daripada haiwan dilindungi

Suspek ditahan bersama pelbagai objek diperbuat daripada bahagian haiwan dilindungi dalam Op Bersepadu Khazanah di sempadan Hutan Simpan Tabin, Lahad Datu.
Suspek ditahan bersama pelbagai objek diperbuat daripada bahagian haiwan dilindungi dalam Op Bersepadu Khazanah di sempadan Hutan Simpan Tabin, Lahad Datu.
A
A
A

LAHAD DATU - Hulu pisau diperbuat daripada tanduk rusa, cengkerang kura-kura dan peralatan perangkap diperbuat daripada haiwan dilindungi antara objek yang dirampas menerusi Op Bersepadu Khazanah di sempadan Hutan Simpan Tabin pada Jumaat.

Operasi yang bermula jam 11.30 pagi itu dilaksanakan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 17 Lahad Datu bersama Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, ketika rondaan dilakukan, pihaknya menemui lorong disyaki digunakan sebagai laluan pemburu haram.

Menurutnya, pasukan operasi terus membuat pemeriksaan dan menemui sebuah rumah tidak berpenghuni di kawasan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan lanjut berjaya menemui pelbagai objek yang terdiri daripada bahagian haiwan yang dikelaskan dalam Jadual 3 Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

"Antara yang ditemui termasuk tanduk rusa, hulu pisau yang diperbuat daripada tanduk rusa, cengkerang kura-kura dan beberapa peralatan lain termasuk alat perangkap haiwan," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Mohd Abduh berkata, semua barang yang dirampas dianggarkan bernilai RM690 dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41(2) Enkmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

Sementara itu, dalam operasi sama, seorang lelaki warga Indonesia ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan perjudian.

Artikel Berkaitan:

Mohd Abduh berkata, ketika ditahan, suspek berusia 48 tahun dikesan membawa beberapa peralatan disyaki untuk tujuan judi ekor haram dan wang tunai sebanyak RM5,257 dipercayai hasil kegiatan perjudian berkenaan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.