Buka masjid selepas semua pegawai, kakitangan lengkap vaksin

Mohd Azman menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Program Prihatin Asnaf MAIK bersama Kelab Kebajikan Cakna Kelantan di Pejabat MAIK, Lundang, Kota Bharu pada Sabtu.
Mohd Azman menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Program Prihatin Asnaf MAIK bersama Kelab Kebajikan Cakna Kelantan di Pejabat MAIK, Lundang, Kota Bharu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) tidak menolak kemungkinan semua masjid di negeri ini akan dibuka kepada orang ramai tidak lama lagi.

Bagaimanapun, ia selepas semua pegawai dan kakitangan institusi rumah ibadah itu lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Ketua Pegawai Pembangunan MAIK, Mohd Azman Ghazali berkata, sehingga kini, sebanyak 80 peratus pegawai masjid yang terdiri daripada imam tua, muda dan bilal sudah lengkap menerima kedua-dua dos suntikan itu.

"Baki selebihnya kita akan lengkapkan keseluruhan suntikan itu sebelum akhir bulan ini bagi memastikan imuniti kelompok berjaya dilengkapkan mengikut saranan ditetapkan kerajaan," katanya kepada pemberita pada Program Prihatin Asnaf MAIK bersama Kelab Kebajikan Cakna Kelantan di Pejabat MAIK, Lundang di sini pada Sabtu.

Penyerahan sumbangan bantuan itu dilakukan secara pandu lalu, sekali gus mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Sementara itu, Mohd Azman berkata, apa yang diterapkan oleh MAIK sebagaimana pendekatan dibuat kerajaan negeri yang menetapkan semua kakitangan premis makanan perlu melengkapkan suntikan dua dos sebelum menerima kemasukan pelanggan untuk menikmati hidangan secara 'dine in'.

Beliau berkata, langkah itu merupakan persediaan sebelum masjid di seluruh negeri ini dibenarkan untuk kembali beroperasi.

Sinar Harian pada 12 Ogos lalu melaporkan masjid di negeri ini akan dibuka sekiranya kes jangkitan Covid-19 menurun dan pemberian vaksin meningkat kepada 50 peratus.

Artikel Berkaitan:

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri negeri, Dr Izani Husin berkata, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan meminta pembukaan masjid ditangguhkan berikutan kes Covid-19 di negeri itu masih meningkat.

Setakat ini, hanya empat jemaah yang kekal dibenarkan menunaikan solat jemaah di masjid sebagaimana titah Sultan Muhammad V.