[VIDEO] PM halalkan politik wang untuk kekal berkuasa: Maszlee

Maszlee Malik
Maszlee Malik
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik mendakwa tawaran Perdana Menteri untuk pembangkang dalam perutusan khas pada Jumaat seperti menghalalkan politik wang untuk kekal berkuasa.

Ahli Parlimen Bebas yang menyokong Pakatan Harapan (PH) itu berkata, tawaran tersebut bercanggah dengan apa yang Tan Sri Muhyiddin Yassin utarakan sendiri dalam perutusan khas itu iaitu menghapuskan politik wang.

"Anehnya beliau mengutarakan beberapa agenda reformasi sedangkan agenda paling penting bagi reformasi politik ialah menghapus politik wang. Tumpuan seharusnya diberi untuk menyelamatkan rakyat dan bukan kerjaya politik beliau," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada petang Jumaat, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

Menurutnya, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bipartisan di Parlimen dan mengelakkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik berterusan dan tidak diselesaikan segera.

ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin tawar kerjasama merentas parti

Mengulas lanjut, Maszlee yakin perutusan khas itu adalah pengakuan terbuka Muhyiddin telah hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Beliau berkata, ini mewajibkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan dilaksana dan Muhyiddin perlu meletakkan jawatan.

Artikel Berkaitan:

Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, sekiranya kerajaan sedia ada dibenarkan untuk terus memerintah, dikhuatiri sektor pendidikan termasuk di peringkat pengajian tinggi akan bertambah teruk dan rosak.

"Saya yakin PH dan parti pembangkang lain mampu mengemukakan suatu perancangan yang lebih baik terutama menangani pandemik Covid-19, menghidupkan semula ekonomi dan pendidikan yang dipinggirkan kerajaan PN serta menyelamatkan rakyat," katanya.