100 peratus dewasa divaksin pada Oktober: PM

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM- Malaysia dijangka mencapai kadar vaksinasi 100 peratus populasi dewasa dan 80 peratus populasi keseluruhan pada bulan Oktober tahun ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam jangka masa dua bulan akan datang itu, kes Covid-19 akan mencatatkan penurunan yang ketara dan menjadi lebih terkawal.

Menurutnya, apabila negara kembali pulih daripada wabak, bukan sahaja dapat kembali kepada kehidupan biasa, tetapi dapat bersama-sama membawa semula negara ke mercu kejayaan dan kegemilangan.

“Saya berharap program vaksinasi yang sedang giat dijalankan pada masa ini bakal memulihkan negara kita dalam tempoh tidak berapa lama lagi, insya-ALLAH,” katanya semasa ucapan khas Perdana Menteri bersama memulihkan negara pada Jumaat.

Selain itu, katanya, ekonomi Malaysia yang berkembang sebanyak 16.1 peratus pada suku kedua 2021 adalah bukti jelas bahawa dasar-dasar kerajaan telah membuahkan hasil, walaupun dalam keadaan yang amat mencabar.

“Perkembangan ini disokong oleh Belanjawan 2021, serta pakej-pakej rangsangan dan bantuan Kerajaan. Pasaran kewangan dan modal kita juga menunjukkan daya tahan yang baik pada Suku Kedua 2021.

“Melangkah ke hadapan, dengan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara dan peningkatan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, ekonomi Malaysia dijangka akan beransur pulih.

“Sasaran 50 peratus populasi dewasa negara divaksinasi sepenuhnya pada akhir Ogos akan membolehkan kita membuka semula kegiatan ekonomi dan sosial secara lebih meluas,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: